ZON KEWANGAN KHAS DI FOREST CITY MEMACU PEMBANGUNAN JOHOR YANG MAJU
Oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Effandi Yusoff, Pensyarah di Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Inisiatif menjadikan Forest City sebagai Zon Kewangan Khas (SFZ) pertama seumpamanya di dalam negara ini, mampu meletakkan Malaysia di peta dunia khususnya dalam sektor kewangan dan perbankan antarabangsa.
Secara tidak langsung, ia dapat memberikan kesan positif kepada pembangunan ekonomi melalui limpahan manfaat yang diterima pelbagai lapisan masyarakat sama ada daripada agensi kerajaan, pemain industri serta masyarakat.
Keputusan menjadikan Forest City sebagai SFZ juga adalah satu langkah tepat terutama dalam usaha memanfaatkan ekosistem yang telah wujud di kawasan berkenaan sekali gus diyakini dapat berkembang dan mampu mewujudkan satu ekosistem kewangan bersifat pelengkap serta mengimbangi negara jiran, Singapura.
Infrastruktur asas di Forest City juga telah tersedia. Jadi, langkah terbaik adalah memastikan projek itu dapat dijayakan bagi memberikan kesan menang-menang kepada semua pihak terlibat.
Walaupun usaha ini baru diumum dan mungkin mengambil tempoh masa antara lima hingga 10 tahun untuk menjadi matang, namun ia mampu menjadi pemangkin kepada Johor mencapai potensi ekonomi sebenar sekali gus muncul sebagai suatu kuasa ekonomi di Asia.
Usaha ini juga boleh menjadi pelengkap inisiatif terdahulu antaranya usaha mewujudkan koridor Iskandar Malaysia di selatan tanah air sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan menjadikannya koridor paling berjaya dalam negara.
Justeru, Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri perlu bekerjasama dengan pihak swasta bagi menarik kehadiran lebih ramai pelabur antarabangsa untuk membuat pelaburan di kawasan SFZ di Forest City.
Matlamat ini mampu dicapai dengan polisi-polisi relevan yang telah dilaksanakan kerajaan sebelum ini, selain pengenalan insentif-insentif bersesuaian yang memberikan lebih imbuhan kepada syarikat antarabangsa memasuki pasaran tempatan.
Kemasukan pelaburan turut akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada penduduk setempat sekali gus bertepatan dengan imej Forest City sebagai sebuah bandar antarabangsa masa depan bersesuaian dengan namanya.
Pembangunan kawasan tersebut yang dibuat dengan mematuhi kriteria ‘Environmental, Social and Governance (ESG) secara tidak langsung akan menarik pemain industri yang mempunyai misi dan visi selari dalam aspek penjagaan alam sekitar dari seluruh dunia untuk datang ke Forest City.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor