DISKAUN 50 PERATUS, ZOO JOHOR DIBUKA 31 OGOS INI


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor meninjau persiapan akhir menjelang pembukaan semula Zoo Johor setelah ditutup hampir tiga tahun bagi memberi laluan kerja menaik taraf dilaksanakan. | Foto Nurina Aisyah.

 

Setelah lebih tiga tahun ditutup kepada umum pandemik COVID-19 disusuli kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur, Zoo Johor yang tampil berwajah baharu kembali membuka pintunya bermula 31 Ogos ini dengan tawaran diskaun 50 peratus harga tiket selama sebulan sehingga 30 September depan.

 

Khabar gembira tersebut diumumkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor selepas mengadakan ‘walkabout’ bagi meninjau persiapan akhir zoo tertua di negara ini yang terletak di Jalan Gertak Merah petang tadi, sekali gus bakal mengubat kerinduan warga bandar raya serta pelawat dari dalam mahupun luar negeri ini.

 

Malah destinasi pelancongan yang pada awalnya dikenali sebagai Kebun Binatang dan merupakan komponen di dalam perkarangan Kebun Bunga, Istana Besar Johor Bahru itu kekal dengan harga tiket termurah di Malaysia iaitu RM10 untuk dewasa, RM5 bagi kanak-kanak sementara RM30 kepada bukan warganegara.

 

Selain itu, bagi memudahkan pergerakan pelawat dan melancarkan aliran trafik sekitar kawasan zoo, sebanyak empat ‘shuttle bus’ disediakan oleh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dengan kekerapan setiap 15 minit dari tempat letak kereta Penjara Ayer Molek ke Zoo Johor.

 

Untuk rekod, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9.67 juta bagi pembangunan semula Zoo Johor melibatkan kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur, sistem tiket elektronik serta laluan pejalan kaki sekali gus menjadikan lokasi tersebut sebagai produk pelancongan mesra keluarga di negeri ini.

 

Berkeluasan 4.73 hektar, haiwan terdapat di Zoo Johor yang dibuka pada tahun 1928 oleh Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar itu turut meliputi koleksi milik Keluarga DiRaja Johor dan sehingga kini, terdapat 53 spesies direkodkan terdiri daripada empat kategori kumpulan iaitu mamalia, primat, reptilia dan burung.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor