10,000 BANJIRI DATARAN SEGAMAT, ZAHIR JIWA MERDEKA


Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 yang diadakan di Dataran Segamat, berlangsung dengan meriah dan penuh warna-warni hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 yang diadakan di Dataran Segamat, berlangsung dengan meriah dan penuh warna-warni hari ini.

 

Hampir 10,000 rakyat Johor pelbagai lapisan umur termasuk 5,897 peserta perarakan membanjiri perkarangan Dataran Segamat sejak jam 6.30 pagi menzahirkan kecintaan kepada negara seterusnya menjiwai semangat merdeka.

 

Acara perarakan dan perbarisan disertai 118 kontinjen membabitkan Jabatan Kerajaan, Agensi dan Badan Berkanun, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri, Pejabat Penghulu, serta pelajar sekolah menerusi Kontinjen Pewaris Kemerdekaan.

 

Selain menyaksikan perbarisan kontinjen terlibat, orang ramai turut disajikan dengan perarakan pelbagai aset dan kenderaan khas pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

 

Sambutan bertemakan Malaysia Madani: Jiwa Merdeka telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dengan turut dihadiri YB Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, Speaker Dewan Negeri Johor dan YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor.

 

Di dalam ucapan perasmiannya, Menteri Besar Johor menyeru agar rakyat Johor tidak sesekali melupakan jasa dan pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang demi anak bangsa memastikan Malaysia menjadi negara aman dan merdeka.

 

Selain itu, beliau turut mengajak rakyat negeri ini mensyukuri nikmat keamanan dikecapi dan mengisi semangat kemerdekaan dengan menjaga keharmonian antara kaum bagi membangunkan negeri tercinta ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor