141 KALI DERMA DARAH SEJAK BERUSIA 18 TAHUN
JOHOR BAHRU — Hasrat untuk membantu masyarakat memerlukan sejak di bangku sekolah mendorong Ong Wah Puh melakukan pendermaan darah sebanyak 141 kali sehingga kini.
Wah Puh yang merupakan seorang timbalan pengarah pembangunan perniagaan dianugerahkan Penderma Darah Terbanyak Peringkat Kebangsaan sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.
Berkongsi mengenai pengalamannya, beliau yang berusia 52 tahun memberitahu sudah menyimpan hasrat tersebut ketika berada di alam persekolahan kerana menyedari akan kebaikan sebagai penderma.
“Tapi syaratnya perlu 18 tahun ke atas. Lepas capai umur, saya terus derma darah. Bagi saya ia satu kepuasan. Sebab kita muda lagi tidak ada duit.
“Jadi dengan apa yang ada (darah), kita dapat membantu orang lain untuk menyambung kehidupan, ia sangat bermakna bagi saya. Selagi saya masih sihat, saya akan terus menderma,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.
Sementara itu, Diana Lim Kyun Yen, 54, berkata, ketakutan terhadap jarum suntikan tidak menjadi penghalang kepadanya untuk konsisten menderma darah setiap tiga bulan sekali.
Beliau yang merupakan penerima Penerima Anugerah Penderma Darah Terbanyak Kategori Wanita telah melakukan pendermaan darah sebanyak 123 kali sejak berusia 21 tahun.
“Sebenarnya ia satu persepsi, awal memang rasa takut. Tapi lepas dapat derma darah, lama kelamaan rasa takut itu pun hilang. Ada yang kata derma darah memudaratkan, tapi sebenarnya tidak malah ia sangat bagus.
“Ia boleh bantu baik pulih kondisi darah kita sebab kita ada buat ujian darah. Secara tidak langsung kita tahu status kesihatan darah kita,” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu menyifatkan aktiviti pendermaan darah sudah menjadi ‘to do list’ dalam kehidupannya sebagai pemilik darah jenis ‘O’ yang sangat diperlukan oleh penerima.
Pada majlis tersebut, turut diraikan Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) yang dihadiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor