15,843 OBS DALAM EKONOMI GIG MENCARUM SKSPS


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 15,843 Orang Bekerja Sendiri (OBS) terlibat ekonomi gig berdaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di Negeri Johor sejak Januari hingga Oktober lalu, berdasarkan statistik PERKESO.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, daripada jumlah tersebut, industri pengangkutan penumpang (e-hailing) mencatatkan jumlah OBS tertinggi berdaftar dan mencarum di bawah skim tersebut iaitu 8,281 orang.

Menurutnya, manakala bagi industri pengangkutan barangan dan makanan (p-hailing) pula adalah seramai 7,236 orang dan selebihnya iaitu 326 orang terlibat dalan lain-lain industri berteraskan ekonomi gig.

“SKSPS 2017 [Akta 789] diwujudkan untuk memberi perlindungan keselamatan sosial yang terjamin kepada OBS yang menjalankan pekerjaan dalam sektor informal termasuklah ekonomi gig.

“Penglibatan OBS dalam sektor ekonomi gig ini turut menyumbang kepada hasil negara melalui rangsangan pasaran buruh tempatan sekali gus dapat mengurangkan kadar pengangguran serta meningkatkan pendapatan individu yang bekerja sendiri terutama di Negeri Johor,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Liew Chin Tong mengenai sumbangan ekonomi gig kepada hasil negeri serta usaha mempertingkatkan program dan jaringan keselamatan sosial buat pekerja gig di Johor.

Mohd Hairi berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Sumber Manusia dan PERKESO sentiasa berusaha secara berterusan untuk mempertingkatkan program dan jaringan keselamatan sosial buat pekerja gig di negeri ini.

“Antaranya, mengadakan program SERANTA, pemimpin bersama masyarakat, kempen kesedaran, aktiviti Skuad Prihatin dan Social Synergy PERKESO, hebahan melalui media cetak dan elektronik serta media sosial melalui 54 pejabat PERKESO di seluruh negara.

“Mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan agensi yang berkaitan seperti Kementerian Pengangkutan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Contohnya bermula Oktober 2021, caruman PERKESO di bawah SKSPS bagi pekerja gig di sektor pengangkutan dan penghantaran barangan serta makanan telah diwajibkan,” katanya.

Selain itu, ADUN Larkin memberitahu menerusi Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah bayaran insentif caruman kepada PERKESO khusus untuk OBS bagi menggalakkan kumpulan itu mendaftar dan mencarum di bawah SKSPS.

“Menerusi Bajet 2022 juga, kerajaan telah memperuntukkan insentif kewangan kepada PERKESO iaitu melalui Program SIP Gig khusus untuk OBS yang melakukan pekerjaa tidak formal atau kerjaya ekonomi gig melalui platform digital,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor