PERMOHONAN KE SEKOLAH MENENGAH AGAMA NEGERI JOHOR KINI DIBUKA


Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kini membuka permohonan ke Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ke Sekolah Menengah Agama Negeri Johor mulai 1 hingga 26 Disember 2022. / Gambar Ihsan Bahagian Pendidikan Islam JAINJ

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi Bahagian Pendidikan Islam kini membuka permohonan kemasukan ke Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat Sekolah Menengah Agama Negeri Johor bagi sesi 2023/2024.

Permohonan kemasukan Tingkatan Satu dan Empat itu boleh dilakukan secara atas talian yang mula dibuka sejak 1 Disember lalu dan akan tamat pada 26 Disember ini.

Bagi kemasukan ke Tingkatan Satu Sekolah Menengah Agama Negeri Johor, semua murid Tahun Enam pada sesi 2022/2023 dipelawa bagi menyambung pengajian di peringkat menengah di tujuh institusi pendidikan Islam di bawah kelolaan JAINJ.

Ia melibatkan Maahad Johor, Johor Bahru; Maahad Tahfiz Negeri Johor (MTNJ) Johor Bahru; Maahad Johor Lil Banat; Sekolah Menengah Agama (SMA) Kerajaan Johor, Kluang; Maahad Pontian; SMA Parit Raja, Batu Pahat dan SMA Bugisiah Tampok, Pontian.

Hanya calon yang disenarai pendek berdasarkan Kiraan Merit Tertinggi akan dipanggil untuk menghadiri Ujian Kelayakan yang dijadual dilaksanakan pada 2 hingga Januari 2023 kelak.

Ujian kelayakan ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu ujian bertulis, ujian inventori personaliti murid (IPM) dan ujian lisan.

Sementara itu, Bahagian Pendidikan Islam JAINJ turut mempelawa pelajar Tingkatan Tiga bagi sesi 2022/2023 untuk menyambung pengajian menengah mereka di empat SMANJ.

Ia membabitkan Maahad Johor di Johor Bahru; SMA Kerajaan Johor, Kluang; Maahad Pontian dan SMA Parit Raja, Batu Pahat.

Permohonan kemasukan dilaksanakan secara atas talian kini mula dibuka mulai 1 Disember lalu dan akan berakhir pada jam 5 petang, 26 Disember ini.

Hanya calon yang melepasi saringan awal berdasarkan jumlah merit tertinggi akan dipanggil menghadiri ujian kelayakan yang akan dijalankan kelak.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor