3 KLON BAHARU LIBERICA MAMPU KURANG KEBERGANTUNGAN KOPI IMPORT
ISKANDAR PUTERI — Inisiatif Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus mempergiatkan usaha dalam meningkatkan pengeluaran kopi tempatan.
Antara usaha tersebut adalah penghasilan tiga klon baharu kopi jenis Liberica yang berjaya dihasilkan MARDI untuk penanaman tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, klon baharu iaitu MKL 8, MKL 9 dan MKL 10 itu mempunyai peratus pertukaran kopi jambu ke kopi beras yang lebih tinggi daripada klon-klon lain.
“Ia secara langsung dapat meningkatkan pengeluaran kopi tempatan serta pendapatan pekebun kecil di Johor selain mengurangkan kebergantungan negara terhadap kopi import yang agak tinggi sekarang, iaitu hampir 97 peratus,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Sabtu.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh hadir ke Majlis Pelancaran Klon dan Inovasi Kopi Liberica Baharu MARDI.
Ting Han berkata, kopi merupakan produk minuman popular global di mana pengeluaran utama dunia adalah varieti Robusta dan Arabica.
Ujarnya, manakala kopi Liberica pula mula diperkenalkan di Malaysia pada kurun ke-19 sebagai alternatif kepada Arabica yang didapati kurang berhasil dan penanaman terhad di kawasan tanah tinggi.
“Kopi Liberica sekarang banyak ditanam di Johor termasuk kawasan Paloh dan diusahakan oleh, antara lain, Paloh The Big Bean kerana tanaman jenis ini boleh mengeluarkan hasil yang baik dalam keadaan cuaca panas di tanah rendah dan juga kawasan tinggi,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor