KERAJAAN TANGGUNG BAYARAN PREMIUM TANAH 170 KIR TERJEJAS BANJIR DI PONTIAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata projek yang diperjuangkan sejak tahun 2011 itu menelan kos sebanyak RM38 juta dan akan menempatkan semula penduduk tiga perkampungan iaitu Kampung Nelayan, Kampung Sri Tanjung dan Kampung Sungai Sanglang. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI — Seramai 170 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir di tiga buah kampung dekat Pontian menerima khabar gembira apabila apabila Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran premium tanah di kawasan kediaman mereka dekat Taman Dato’ Hajjah Fatimah Salim, Benut, Pontian.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata projek yang diperjuangkan sejak tahun 2011 itu menelan kos sebanyak RM38 juta dan akan menempatkan semula penduduk tiga perkampungan iaitu Kampung Nelayan, Kampung Sri Tanjung dan Kampung Sungai Sanglang.

“Untuk pengetahuan, Kerajaan Negeri telah menanggung 80 peratus kos premium tanah dan Alhamdulillah, saya dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri I merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa pihak kementerian akan menanggung baki 20 peratus kos premium tanah.

“Tambahan pula, kos selenggara dewan, surau dan tadika juga ditanggung pihak kerajaan. Ini bermakna premium tanah, rumah serta kos selenggara adalah percuma,” katanya di laman Facebook rasminya.

Terdahulu, Onn Hafiz menyempurnakan Majlis Penyerahan Rumah Dan Notis 5A, Taman Dato’ Hajjah Fatimah Salim di Benut, Pontian, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Dato’ Ir. Hasni Mohammad; Pengarah Tanah dan Galian Johor, Dato’ Ashari Kasnan dan Pegawai Daerah Pontian, Zainal Eran.

Onn Hafiz turut mengingatkan penduduk agar menjaga kebersihan kawasan perumahan terbabit supaya ia akan dapat memberikan keselesaan demi kesejahteraan secara bersama.

“Semoga seluruh warga Taman Dato’ Hajjah Fatimah Salim akan menjaga pemberian rumah ini sebaiknya serta menjaga kebersihan kawasan sekitar,” tambahnya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor