32 SYARIKAT MINAT LABUR DI ZON KEWANGAN KHAS FOREST CITY

Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Sebanyak 32 syarikat menunjukkan minat membuka operasi perniagaan di Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) yang meletakkan kawasan berkenaan berada pada landasan tepat menjadi destinasi pelaburan utama.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 syarikat berasal dari Malaysia, Singapura dan Thailand menyatakan minat menubuhkan pejabat keluarga, manakala dua syarikat sudah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Dua syarikat tersebut iaitu CMY Capital dan Yow Kee Family Office, syarikat pelaburan terkenal negara menjadi kumpulan pertama membuka pejabat keluarga yang akan beroperasi di FCSFZ, jelas YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.
Pencapaian itu merupakan langkah besar buat Forest City menjadi hab kewangan serantau dan pembukaan dua syarikat berkenaan dijangka mewujudkan lebih banyak pejabat keluarga dan institusi kewangan memulakan operasi tahun ini.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut giat menjalin hubungan dengan pelabur berpotensi bagi memahami keperluan dan keutamaan pelaburan sebagai sebahagian inisiatif FCSFZ serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) selain terbuka untuk menawarkan insentif direka khusus buat pelaburan utama.
Kementerian Kewangan juga kini sedang memuktamadkan pakej insentif yang telah diumumkan untuk dikuatkuasakan tidak lama lagi selain permohonan diterima akan diproses bagi mempercepatkan kelulusan seterusnya menarik lebih banyak pelaburan ke FCSFZ.
Pewujudan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) sebagai pusat sehenti untuk pelabur menyaksikan kira-kira 250 pertanyaan daripada pelabur yang berminat sudah diterima sejak Januari lalu hingga kini.
Susulan lawatan Xi Jinping, Presiden China pada minggu lalu diikuti pemeteraian perjanjian pengecualian visa antara Malaysia dan China, Negeri Johor serta FCSFZ dijangka menerima lebih perhatian melibatkan pelaburan.
#WTN
#FCSFZ
#JS-SEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor