40 DESTINASI ANTARABANGSA BAHARU, PENERBANGAN DOMESTIK PADA TAHUN 2027


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 40 destinasi antarabangsa baharu dan penerbangan domestik pada masa akan datang di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), menjelang tahun 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, perancangan jumlah destinasi itu melibatkan kategori domestik, ASEAN dan antarabangsa.

“Kategori domestik iaitu Kuala Lumpur, Penang, Kuching, Kota Kinabalu, Ipoh, Sibu, Langkawi, Tawau, Alor Setar, Kota Bahru, Miri, Bintulu, Kuala Terengganu dan Sandakan.

“Kategori ASEAN iaitu Surabaya, Jakarta, Bandung, Ho Chi Minh, Bangkok, Kuala Namu, Phnom Penh, Batam, Jogjakarta, Siem Reap, Hatyai, Balik Papan, Pekan Baru, Bandung, Chiang Mai, Yangon.

“Kategori antarabangsa iaitu Guangzhou, Incheon, Busan, Jeju, Shenzen, Almaty, Taipei, Triachi, Hong Kong, Tashkent, Guillin,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.

Raven Kumar berkata, pelan penambahan destinasi untuk tahun hadapan melibatkan Sandakan bagi kategori domestik, diikuti Kuala Namu, Phnom Penh dan Batam bagi ASEAN serta Busan untuk antarabangsa.

Selain itu, bagi meningkatkan momentum kedatangan pelancong ke Johor, ujarnya, Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (SATSSB) memohon LTAS diberikan beberapa perkara.

“Pertama, kerajaan negeri memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya LTAS diberi ‘Open-Sky’ dengan lapangan terbang sekunder ASEAN.

“Kedua, Tourism Johor meningkatan promosi pelancongan di negara ASEAN seperti Korea, China, India, Kazakhstan dan Uzbekistan.

“Dan, Tourism Johor dan IRDA membantu dalam memberi insentif penggalakan dan pemasaran kepada syarikat-syarikat penerbangan,” katanya.

Beliau memberitahu SATSSB yang bertanggungjawab terhadap LTAS telah mengambil pelbagai usaha dan inisiatif bagi menarik minat syarikat penerbangan domestik serta antarabangsa untuk terus ke Johor.

“SATSSB kekal iltizam untuk menarik dan meyakinkan pelbagai industri antaranya pelancongan perubatan, pelancongan pengajian tinggi, pelancongan sukan, pelancongan eko dan sebagainya agar dapat melengkapkan rangkaian laluan dari semua destinasi ASEAN dan antarabangsa,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor