KERAJAAN NEGERI AKUI CABARAN BEKAL AIR BERSIH TERAWAT


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Membekalkan air bersih terawat dengan sempurna kepada semua pengguna di negeri ini, menjadi iltizam dan komitmen kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, bagaimanapun terdapat cabaran dalam memastikan perbekalan air kekal sempurna.

“Terutama membabitkan gangguan bekalan air tidak terancang seperti kejadian paip pecah,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.

Menjawab soalan ADUN Parit Raja, Nor Rashidah Ramli mengenai inisiatif bagi mengatasi gangguan bekalan air di pekan Parit Raja, Mohamad Fazli berkata, isu itu timbul sejak kebelakangan ini berpunca kekerapan paip bocor di sepanjang jalan Parit Raja-Kluang.

“Disebabkan oleh kerja-kerja pemasangan parit konkrit bagi kerja pelebaran Jalan Parit Raja-Kluang. Sehingga tarikh ini, direkodkan terdapat 19 kali kes pecah yang bersangkutan dengan kerja-kerja tersebut.

“Bagi langkah jangka pendek, pihak Ranhill SAJ telah berbincang dengan JKR dan kontraktor dan menasihatkan langkah-langkah yang sewajarnya,” katanya.

Ujar beliau, selain itu Ranhill SAJ telah mengambil langkah segera dengan membuat pengolahan sistem bekalan air di kawasan terlibat bagi meminimakan jumlah pengguna terjejas.

“Antara penambahbaikan sistem bekalan untuk jangka panjang yang sedang dalam perancangan ialah pengolahan sistem dengan membekalkan sebahagian kawasan Parit Raja daripada LRA Sembrong Barat apabila pembinaan Tangki Air Baru Ayer Hitam siap.

“Cadangan pembinaan LRA baru berkapasiti 40 MLD di kawasan Parit Raja,” katanya.

Mengulas mengenai isu paip air pecah yang mengakibatkan gangguan bekalan air di Tongkang Pechah dibangkitkan ADUN Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri, Mohamad Fazli berkata, Ranhill SAJ sedang mengkaji kesesuaian pemasangan injap-injap sempadan.

Katanya, langkah tersebut bagi meminimakan kawasan yang terjejas jika berlaku kejadian paip bocor atau pecah dari tangki utama membekalkan air.

Manakala mengenai tindakan kecemasan Ranhill SAJ ketika Ranhill SAJ ketika krisis air berlaku akibat kejadian paip pecah di Seri Alam di bangkitkan ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung, beliau memberitahu kejadian itu merupakan gangguan bekalan air tidak terancang dan luar jangka.

“Kerana berlakunya kejadian paip pecah berukuran diameter 1200 mm ketika kerja-kerja pemasangan paip utama yang dijalankan oleh pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berhampiran Persiaran Seri Alam, Masai.

“Insiden tersebut telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak terancang kepada kira-kira 120,000 akaun pengguna pada peringkat awal.

“Menyedari keadaan disifatkan sebagai kecemasan, Ranhill SAJ telah bertindak serta merta menjalankan kerja-kerja pembaikan kecemasan dan berjaya melakukan inisiatif pengolahan segera sistem agihan,” katanya.

Mohamad Fazli berkata, ikhtiar dilakukan juga berjaya menurunkan jumlah pengguna terjejas kepada sejumlah 62,272 akaun.

“Selain itu, sebanyak 46 lori tangki air terdiri daripada lori Ranhill SAJ, pihak operator bekalan air lain, agensi kerajaan dan swasta telah digerakkan.

“Ranhill SAJ juga telah menggerakkan 19 unit tangki atas pacuan empat roda dan 76 unit tangki statik di lokasi strategi untuk mempercepatkan proses agihan air kepada pengguna terjejas,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor