GUNA PERKHIDMATAN THIJARI, BANK RAKAN STRATEGIK : TH


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

 

ISKANDAR PUTERI — Lembaga Tabung Haji (TH) mengesyorkan pendeposit mereka termasuklah di Labis, untuk menggunakan perkhidmatan THiJARI bagi pelbagai urusan berkaitan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, TH telah membangunkan aplikasi perkhidmatan atas talian itu sejajar dengan arus perdana digitalisasi.

 

Menurutnya, para pendeposit boleh melaksanakan pelbagai urusan dengan mudah dan cepat serta di mana sahaja tanpa perlu hadir ke kaunter TH.

 

“Kemudahan ini boleh dilayari melalui portal www.thijari.com.my. Perkhidmatan digital kini menjadi pilihan pengguna dengan kadar lebih 84 peratus transaksi dilakukan secara atas talian,” katanya pada Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Bekok, Tan Chong yang memajukan harapan masyarakat Islam di Labis agar kerajaan negeri membantu supaya kaunter TH dapat beroperasi semula di bandar Labis.

 

Mohd Fared berkata, para pendeposit di Labis dan sekitarnya turut boleh membuat urusan transaksi TH di cawangan institusi perbankan rakan strategik.

 

“Pertama Maybank, kedua Bank Rakyat dan ketiga CIMB melalui kaunter, ATM, CDM, Online Banking. Para pendeposit juga boleh menggunakan kemudahan perbankan internet seperti M2U, Bank Islam IB, CIMB Clicks, i-Rakyat, AmOnline dan mobile banking Standard Chartered Saadiq Berhad (SCSB).

 

“Senarai penuh perkhidmatan TH melalui rakan strategik dan THiJARI boleh dirujuk di laman sesawang TH www.tabunghaji.gov.my. TH juga telah melebarkan perkhidmatannya melalui pelaksanaan perkhidmatan kaunter bergerak dan TH Komuniti sebagai inisiatif tambahan untuk kemudahan umat Islam mendapatkan perkhidmatannya,” katanya.

 

Selain itu, beliau turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih Lembaga TH atas saranan dikemukakan ADUN Bekok.

 

Ujarnya, sejajar dengan matlamat, TH sentiasa berusaha menyediakan saluran kemudahan perkhidmatan yang terbaik kepada umat Islam di Malaysia.

 

“TH mempunyai sebanyak 107 buah cawangan di seluruh negara termasuklah 10 buah cawangan TH di negeri Johor pada masa kini.

 

“Perkhidmatan yang ditawarkan di cawangan-cawangan ini merangkumi urusan pembukaan akaun, simpanan dan pengeluaran, mengemaskini akaun, pendaftaran haji, hibah amanah, penamaan waris dan sebagainya,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor