4,862 PENGUSAHA DIKENALPASTI TERKESAN AKIBAT BANJIR


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato Zahari Sarip | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 4,862 pengusaha sektor pertanian dan agromakanan dikenalpasti terkesan akibat banjir Johor, dengan anggaran nilai kerugian berjumlah lebih RM35 juta, setakat ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato Zahari Sarip berkata, jumlah tersebut melibatkan pengusaha pelbagai subsektor tanaman, penternakan, perikanan serta industri asas tani bimbingan jabatan di bawah sektor pertanian.

 

Menurutnya, banjir melanda Johor baru-baru ini, memberi dampak kepada pengusaha sektor pertanian dan industri agromakanan keseluruhannya.

 

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan bencana kepada semua agensi di bawahnya sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana kepada sektor agromakanan.

 

“Bantuan ihsan (kepada pengusaha terjejas) bagi membantu memulihkan dan melaksanakan semula projek, bukanlah bertujuan untuk membayar ganti rugi kerosakan akibat bencana,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Parit Raja, Nor Rashidah Ramli mengenai usaha kerajaan membantu usahawan sektor pertanian dan penternakan yang terkesan akibat perubahan iklim dan banjir.

 

Zahari berkata, insentif bantuan bencana agromakanan terbahagi kepada dua sumber peruntukan utama iaitu melalui MAFS dan Projek Pembangunan Pertanian Kerajaan Johor.

 

Katanya, terdapat dua jenis insentif bantuan bencana iaitu Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dan Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

 

Ketika ditemui pemberita, beliau mengingatkan pengusaha yang terjejas dengan banjir agar membuat laporan atau aduan kepada jabatan berkaitan di daerah masing-masing.

 

“Beberapa prosedur perlu mereka lalui iaitu isi borang, kemudian sertakan dengan gambar atau video berkaitan serta laporan polis. Saya fikir waktu ini sesuai sangat kerana masih ada kesan-kesan banjir.

 

“Jangan lambat, nanti kesan-kesan sudah hilang, jadi sukar untuk jabatan membuat penilaian. Penting (sertakan gambar, video dan laporan polis) sebab kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan. Mungkin mereka tidak buat pertanian tapi buat laporan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor