KERAJAAN NEGERI JOHOR RANCANG PERLUAS SRBJ KE DUA DAERAH BAHARU

Kerajaan Negeri merancang memperluas pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) ke daerah Kluang dan Kota Tinggi secara berperingkat pada tahun 2027, sebagai usaha untuk memperkukuh kualiti pendidikan serta pembangunan bakat anak Johor. / Foto MDJ Nurina
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri merancang memperluas pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) ke daerah Kluang dan Kota Tinggi secara berperingkat pada tahun 2027, sebagai usaha untuk memperkukuh kualiti pendidikan serta pembangunan bakat anak Johor.
Perancangan itu menyusuli pelaksanaan SRBJ sejak sesi persekolahan 2025/2026 di empat sekolah melibatkan daerah Johor Bahru dan Pasir Gudang, yang kini memberi manfaat kepada 2,365 murid.
Bagi peluasan seterusnya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah mengemukakan cadangan empat sekolah untuk dinilai, masing-masing membabitkan sebuah sekolah rendah dan menengah di kedua-dua daerah berkenaan.
Di Kluang, sekolah yang dicadangkan ialah SK Dato’ Onn Jaafar dan SMK Simpang Rengam, manakala di Kota Tinggi melibatkan SK Sungai Kapal serta SMK Tanjung Datuk. Bagaimanapun, senarai berkenaan masih tertakluk kepada penilaian dan pemuktamadan oleh JPNJ.
Antara kriteria pemilihan termasuk keadaan prasarana, kepimpinan sekolah, kesediaan guru, keperluan murid serta kesesuaian pelaksanaan modul SRBJ bagi memastikan peluasan program berkekaan akan dapat dilaksanakan mengikut keperluan setiap sekolah.
Dalam pada itu, SRBJ yang dilancarkan pada 2025 terus memberi nilai tambah kepada sistem pendidikan sedia ada menerusi empat fokus utama, iaitu penguasaan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa Melayu, pengukuhan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pembangunan sahsiah serta kebolehpasaran murid dan pentaksiran kompetensi.
Usaha Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada kesinambungan pembangunan bakat bermula daripada Tabika Bangsa Johor, SRBJ, institusi pengajian tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebelum ia diselaraskan dengan keperluan industri melalui Johor Talent Development Council (JTDC), selari dengan Johor Economic Transformation Plan (JETP) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menjawab soalan mengenai perancangan peluasan SRBJ ke daerah lain, termasuk cadangan pelaksanaannya di Kluang dan Kota Tinggi pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027), Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#SekolahRintisBangsaJohor
#SRBJ
#PendidikanBangsaJohor
#STEM
#BelanjawanJohor2027
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



