49,980 CALON DUDUKI SPM BERTULIS DI JOHOR
#JohorBahru – Seramai 49,980 calon berdaftar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mula menduduki peperiksaan bertulis di 376 pusat peperiksaan melibatkan 306 sekolah seluruh Negeri Johor bermula hari ini hingga 6 Februari depan.
Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah memastikan aspek pengurusan melibatkan kemudahan pusat peperiksaan di negeri ini berada dalam keadaan baik termasuk di kawasan yang berpotensi banjir.
Persediaan rapi bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir juga dilaksanakan menerusi penyelarasan gerak kerja di setiap daerah termasuk menyediakan kemudahan pengangkutan pelajar ke pusat peperiksaan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sehingga jam lapan pagi tadi, hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menempatkan 17 keluarga terdiri 69 penduduk di Sekolah Kebangsaan (SK) Gembut dan Balairaya Kampung Perpat, masing-masing di Kota Tinggi dan permasalahan tersebut tidak menjejaskan calon SPM.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir menyantuni 118 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru pada hari pertama peperiksaan bertulis.
Sementara itu, Aznan turut berkeyakinan prestasi cemerlang diraih pada tahun lalu dapat dikekalkan selepas mencatat 4.48 bagi Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2023 dengan jumlah 1,247 calon memperoleh keputusan cemerlang.
#SPM2024
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor