550 SUKARELAWAN SERTAI MISI PASCA BANJIR (SV) KE BATU PAHAT


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM200,000 dari Tabung Bencana Negeri Johor kepada Southern Volunteers (SV) pada Majlis Pelepasan Konvoi Misi Pasca Banjir SV ke Batu Pahat di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Iskandar Puteri | Gambar Ihsan Southern Volunteers.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 550 sukarelawan menyertai Misi Pasca Banjir Southern Volunteer (SV) Ke Batu Pahat bagi memberi bantuan kepada mangsa yang terjejas bencana banjir di daerah berkenaan sebelum ini.

Majlis pelepasan konvoi misi bantuan terbabit disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Dataran Mahkota, Kota Iskandar di sini, pagi tadi.

Pada majlis pelepasan itu, Onn Hafiz turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM200,000 dari Tabung Bencana Negeri Johor kepada SV sebagai tanda sokongan dan galakkan aktiviti pertubuhan sukarelawan itu dapat diterus serta diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat Johor.

Majlis pelepasan konvoi misi itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Rohani; Pengerusi Belia Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Johor.

Hadir sama ialah Pihak Pengurusan Tertinggi Kerajaan Negeri Johor, wakil jabatan dan agensi Kerajaan Johor, pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta.

Misi Pasca Banjir SV yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar akan bergerak memberi bantuan kepada mangsa banjir di daerah berkenaan terjejas teruk dengan bencana alam kali ini.

Misi terbabit akan memberi fokus kepada kerja pembersihan di kediaman penduduk, bangunan, prasarana milik kerajaan dan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas dengan kejadian banjir yang melanda daerah berkenaan.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 16,937 mangsa dari 4,842 keluarga masih berlindung di 69 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Batu Pahat berikutan penempatan mereka kini dilanda banjir termenung.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor