KERAJAAN JOHOR TERIMA RM296.4 JUTA BAIK PULIH JALAN NEGERI, PERSEKUTUAN


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh menjelaskan Kerajaan Negeri komited dalam menambahbaik isu jalan raya di Johor / Sumber Foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menerima peruntukan berjumlah RM296.4 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi membaik pulih Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri, pada tahun ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM124 juta bagi baik pulih jalan negeri.

 

Menurutnya, selebihnya untuk Jalan Persekutuan melibatkan Lebuhraya Pasir Gudang, Jalan Batu Pahat-Johor Bahru FT001, Jalan Mersing-Johor Bahru FT003 dan Jalan Pontian – Johor Bahru FT005.

 

“Seperti saya maklum sebelum ini FT001, FT003 dan FT005 tidak diselenggara selama lebih kurang empat tahun lepas. Kita sudah ‘sign agreement’ antara konsesi dan JKR, dan tahun lepas kita telah dapat peruntukan untuk membaiki FT001, FT003 dan FT005.

 

“Kita menerima peruntukan RM36.4 juta untuk baiki FT003, RM28.6 juta FT001 dan RM32.4 juta FT005,” kata beliau ketika ditemui pemberita, hari ini.

 

Mengulas mengenai Lebuhraya Pasir Gudang, Mohamad Fazli berkata, sebanyak RM75 juta diperuntukkan bagi melebarkan lebuh raya itu kepada enam lorong melibatkan jarak sejauh tujuh kilometer.

 

“Lebuhraya Pasir Gudang sebenarnya terdapat empat peringkat. Fasa 1, Fasa 2A, Fasa 2B dan Fasa 3, dan untuk fasa yang pertama telah pun siap pada tahun 2016. Fasa 2A telah siap pada tahun 2018 dan sekarang fasa (2B) pembinaan yang sudah dimulakan pada tahun lepas dan dijangka siap dalam masa 3 tahun (36 bulan) daripada tempoh serah tapak.

 

“Kita juga ada perancangan di Jalan Perling susur naik Lebuhraya Utara-Selatan PLUS dan dalam proses di angkat dalam Rolling Plan 2023. Jadi kalau siap ini, kita akan siap semua keempat-empat peringkat yang kita sudah rancang,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor