56 AHLI DEWAN NEGERI JOHOR ANGKAT SUMPAH

Seramai 56 Ahli Dewan Negeri (ADUN) Johor mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, didahului YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap ADUN Machap, di hadapan Speaker Dewan Negeri Johor, YB Dato’ Zahari Sarip, diikuti 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO). | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Seramai 56 Ahli Dewan Negeri (ADUN) Johor mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.
Majlis angkat sumpah berkenaan didahului oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap ADUN Machap di hadapan YB Dato’ Zahari Sarip, Speaker Dewan Negeri Johor, diikuti kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Majlis angkat sumpah itu kemudiannya diteruskan dengan 10 Timbalan EXCO yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing, sebelum YB Dato’ Samsolbari Jamali, ADUN Semarang mengangkat sumpah dan disusuli ADUN lain secara berperingkat.
YB Dato’ Samsolbari yang pernah menggalas tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor bagi penggal 2020 hingga 2022, kemudiannya sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor.
Pencalonan beliau dikemukakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi dan disokong YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor yang juga ADUN Bukit Permai sebelum diisytiharkan secara rasmi oleh YB Dato’ Zahari Sarip, Speaker Dewan Negeri Johor.
Beliau merupakan ADUN Semarang selama enam penggal selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor Ke-16 dengan majoriti 14,679 undi.
Pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor Ke-16, Barisan Nasional (BN) menguasai 48 daripada 56 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lapan kerusi.
#JohorSafeZone
#DewanNegeriJohorKe16
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


