56 DUN JOHOR TERIMA PERUNTUKAN LAKSANA TIGA PROGRAM


Peruntukan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah kepada semua Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor atau wakil pada Khamis | FOTO IHSAN, Saufi Razalee

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menyampaikan peruntukan kepada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini, bagi melaksanakan program Southern Volunteers (SV) Prihatin@Johor Future, Skuad Muda SV dan Sukan Bangsa Johor.

Peruntukan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah kepada semua Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor atau wakil pada Khamis.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ ‘On Jabbar berkata, setiap DUN menerima RM7,500 bagi baik pulih lima rumah untuk program SV Prihatin@Johor Future dengan nilai keseluruhan RM420,000.

“Sebanyak RM1,000 dengan nilai keseluruhan RM56,000 pula diperuntukkan bagi pelaksanaan Skuad Muda SV yang melibatkan 56 buah sekolah (di setiap DUN) negeri ini.

“Manakala RM20,000 setiap DUN dengan nilai keseluruhan RM1.12 juta untuk (pelaksanaan) Sukan Bangsa Johor,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penyerahan ‘mock cheque’ di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini.

Terdahulu, Mohd Hairi dalam sidang media pada 31 Mei lalu, memaklumkan pelaksanaan tiga program berkenaan dengan keterlibatan wakil rakyat bersama masyarakat khususnya golongan belia di 56 DUN di negeri Johor pada tahun ini.

SV Prihatin@Johor Future merupakan aktiviti berkonsepkan baik pulih rumah; Skuad Muda SV pula program melahirkan pelapis dalam bidang kesukarelawanan dan Sukan Bangsa Johor bertujuan merakyatkan sukan di kalangan masyarakat.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor