JOHOR TERIMA 205 PROJEK SUKU PERTAMA 2023


Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, daripada jumlah tersebut, 58 projek dalam sektor pembuatan manakala selebihnya iaitu 147 projek bagi sektor perkhidmatan yang mewujudkan 3,311 peluang pekerjaan langsung. | Foto ihsan MedKom

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 205 projek dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan diraih menerusi pelaburan komited RM10.6 bilion diluluskan bagi suku pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, daripada jumlah tersebut, 58 projek dalam sektor pembuatan manakala selebihnya iaitu 147 projek bagi sektor perkhidmatan yang mewujudkan 3,311 peluang pekerjaan langsung.

“Untuk makluman, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang RM1.35 bilion atau 75 peratus, manakala pelaburan langsung domestik (DDI) mencatatkan RM450 juta atau 25 peratus bagi sektor pembuatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Kota Iskandar, pada Khamis.

Ting Han berkata, sub-sektor elektrikal dan elektronik dalam sektor pembuatan menerima pelaburan tertinggi iaitu RM1.12 bilion diikuti produk logam fabrikasi (RM185 juta); kimia dan produk kimia (RM90 juta); kertas, percetakan dan penerbitan (RM76 juta) serta pembuatan makanan (RM73 juta).

Ujarnya, manakala sub-sektor projek mencapai status Malaysia Digital menerima pelaburan tertinggi iaitu RM5.85 bilion dalam sektor perkhidmatan diikuti informasi dan komunikasi (RM1.61 bilion); hartanah (RM911 juta); utiliti (RM284 juta) serta perdagangan pengedaran (RM56 juta).

Terdahulu, Johor merekodkan pelaburan komited sebanyak RM10.6 bilion pada suku pertama tahun ini, iaitu peningkatan RM7.3 bilion atau 221 peratus berbanding RM3.3 bilion yang dicapai pada tempoh sama tahun lalu.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor