KADAR VAKSINASI DOS LENGKAP DEWASA LEBIH 100 PERATUS : EXCO KESIHATAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, sebanyak 78.7 peratus penduduk dewasa menerima dos penggalak pertama dan 3.3 peratus menerima dos penggalak kedua. | Foto ihsan MedKom

 

ISKANDAR PUTERI — Kadar vaksinasi COVID-19 dos primer lengkap bagi penduduk dewasa di negeri ini, melepasi angka 100 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, sebanyak 78.7 peratus penduduk dewasa menerima dos penggalak pertama dan 3.3 peratus menerima dos penggalak kedua.

Menurutnya, bagi populasi remaja daripada 359,900 orang, sebanyak 96.2 peratus mendapatkan dos pertama, 94.1 peratus (dos kedua) dan 2.4 peratus (dos penggalak).

“Bagi pencapaian vaksin untuk kanak-kanak pula, bagi dos pertama kita telah mencapai 56.9 peratus dan 51.1 peratus bagi dos kedua daripada 409,800 jumlah populasi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun di Johor.

“Bagi dos booster pula adalah sangat rendah dan hanya mencapai 0.2 peratus dan bagi dos kedua hanya tiga kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Kota Iskandar, di sini, pada Khamis.

Tian Soon berkata, tiada vaksin COVID-19 diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bagi pemberian untuk kanak-kanak bawah 5 tahun.

Katanya, vaksin COVID-19 diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke atas, dan pemberian itu secara sukarela serta percuma di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta berdaftar sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Berdasarkan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan dos primer dan penggalak masih disarankan terutamanya untuk golongan berisiko tinggi.

“Kepada mereka yang belum melengkapkan dos primer atau dos penggalak, boleh membuat temu janji melalui MySejahtera atau menghubungi klinik kesihatan berhampiran,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan pola pelaporan COVID-19 bagi negeri Johor di dalam tempoh beberapa bulan ini, tidak menunjukkan peningkatan mendadak selain penggunaan katil masih berada di bawah kadar 5 peratus.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor