6 PERKARA DIBERI FOKUS DALAM AGENDA PERUMAHAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Enam perkara akan diberikan fokus oleh kerajaan negeri bagi agenda perumahan seperti dibangkitkan dalam perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara pertama adalah Rumah Mampu Milik Johor di mana kerajaan negeri mensasarkan pembinaan 21,139 unit dalam tempoh lima tahun.

“Kedua, Program Perumahan Negeri Johor. Ia melibatkan Pembangunan Rumah Impian Bangsa Johor, Rumah Transit Bangsa Johor, Program Rumah Kasih Johor dan Perluasan Skim Rent to Own.

“Disamping itu, terdapat juga rumah PPR yang disewakan dengan harga yang mininum. Namun demikian, kerajaan negeri menyedari tentang berlakunya sublet atau sewa atas sewa.

“Perkara ini amatlah dikesali dan PKPJ akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas bagi menangani isu yang bersifat penganiayaan terhadap Bangsa Johor yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Onn Hafiz berkata, perkara ketiga adalah Dasar Perumahan Johor yang melibatkan Program Galakan Pembinaan RMMJ, Penyelarasan Harga Rumah, Caj Gantian, Penyelarasan Jenis dan Pindaan komposisi pembangunan atas tanah kurang lima ekar serta pelaksanaan Fast Lane Approval.

Ujar beliau, perkara keempat merupakan Rejuvenasi Rumah Pangsa Negeri Johor iaitu kerja baikpulih rumah pangsa yang telah berusia lebih 25 tahun.

“Kelima, Setinggan Sifar Negeri Johor 2035. Taskforce Setinggan Negeri Johor telah diwujudkan bagi menyelaras pemindahan setinggan.

“Ia meliputi inisiatif penyediaan rumah bagi penduduk setinggan melalui program Skim Perumahan Prihatin Johor (sewa milik) dan menawarkan perumahan mampu milik atau PPR yang tersedia kepada mereka yang layak,” katanya.

Beliau memberitahu perkara keenam adalah penyelesaian isu Property Overhang di mana kerajaan negeri akan membentuk taskforce melibatkan BPEN, PKPJ, PLANMalaysia serta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi mengkaji pelaksanaan dasar berkaitan Malaysia MySecond Home (MM2H),” katanya.

 

#MediDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor