6,000 ‘SPARTAN’ BAKAL GEGAR ISKANDAR PUTERI


Sidang media Spartan Race Trifecta Weekend di Pusat Sukan Estuari, Iskandar Puteri yang dihadiri oleh Michael Goodwin, Ketua Pegawai Eksekutif Unbreakable Events Malaysia Sdn. Bhd. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Negeri Johor terus menjadi destinasi pilihan bagi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa apabila hampir 6,000 peserta dari 18 negara bakal menggegarkan bumi Iskandar Puteri dalam perlumbaan Spartan Race Trifecta Weekend pada 27 hingga 28 April ini.

 

Malah, lokasi strategik yang berhampiran dengan pintu sempadan negara serta prasarana fasiliti sukan sedia ada yang kondusif juga menjadi faktor Iskandar Puteri dipilih sebagai lokasi penganjuran sukan berhalangan bertaraf antarabangsa itu.

 

Unbreakable Events Malaysia Sdn. Bhd selaku penganjur turut memuji komitmen dan sokongan diberikan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Tourism Johor yang memberi kerjasama penuh dalam menjayakan penganjuran edisi pertama sukan berkenaan di Johor.

 

Ia juga selari dengan usaha Kerajaan Negeri dalam menjadikan Johor sebagai hab pelancongan sukan menerusi penganjuran pelbagai jenis acara sukan bertaraf antarabangsa sekali gus turut dapat menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.

 

Antara kategori akan dipertandingkan ialah ‘Spartan Beast’ sejauh 21 kilometer (km); ‘Spartan Sprint’ (5km); ‘Spartan Super’ (10km) dan Spartan Kids 1 bagi kanak-kanak berusia empat hingga 13 tahun dengan halangan mini mengikut umur (1km dan 2km).

 

Terdahulu, telah berlangsungnya sidang media Spartan Race Trifecta Weekend di Pusat Sukan Estuari, Iskandar Puteri yang dihadiri oleh Michael Goodwin, Ketua Pegawai Eksekutif Unbreakable Events Malaysia Sdn. Bhd.

 

Hadir sama ialah YBrs. Encik Mohd Amin Kadiman, Timbalan Pengarah Tourism Johor dan YBrs. Encik Muhammad Ali Abdul Karim, Penolong Pengarah Seksyen Komunikasi Strategik MSNJ.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor