USAHA MENGURANGKAN PENGANGGURAN GIAT DILAKSANAKAN


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyatakan Kerajaan Negeri giat melaksanakan program dalam berdepan isu pengangguran di Negeri ini / Sumber Gambar MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor melalui Unit Strategik Modal Insan Johor komited melaksanakan pelbagai usaha bagi mengurangkan kadar pengangguran terutama di kalangan belia di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kerajaan negeri telah dan giat melaksanakan Program Gerak Kerjasama Johor, Program Latihan Kemahiran Johor (PRO-MAHIR) dan juga hebahan jawatan kosong sepanjang tahun di platform media sosial jabatan.

 

“Golongan sasar bagi setiap program anjuran jabatan ini adalah terbuka kepada semua golongan rakyat Johor termasuklah belia, pencari kerja aktif dan golongan B40,” katanya pada Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Benut, Dato’ Ir. Hasni Mohammad dan ADUN Panti, Hahasrin Hashim secara bersekali langkah mengurangkan kadar pengangguran termasuklah di kalangan golongan belia di negeri ini.

 

Selain itu, Mohd Hairi berkata, Kementerian Sumber Manusia menerusi PERKESO juga mempergiatkan usaha bagi merancakkan pasaran buruh menerusi pelbagai inisiatif.

 

Ujarnya, antara inisiatif itu iaitu di bawah Bajet 2023 adalah pelaksanaan lima inisiatif Program Pasaran Buruh Aktif.

 

“Pertama Program Transisi Pekerjaan Untuk Perantis TVET dan Lepas Sekolah atau Kerjaya TVET. Kedua, Program Bina Kerjaya Pekerja Informal Gig Riders. Ketiga, Program Daya Kerjaya. Keempat, Elaun Mobiliti. Dan, kelima Pembangunan Pusat Satelit MYFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh Malaysia.

 

“PERKESO secara berterusan mempergiatkan Karnival Kerjaya di seluruh negara sebagai galakan kepada pencari kerja dan secara tidak langsung turut membantu merangsang pasaran buruh negara,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor