KERAJAAN JOHOR SAMPAIKAN HASRAT PEMBINAAN HSA 2 KEPADA PM


Kerajaan negeri sudah membawa cadangan pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. | FOTO IHSAN, Saufi Razalee

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri sudah membawa cadangan pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, hasrat untuk mewujudkan hospital baharu itu sudah disampai serta dibincangkan dalam pertemuan baru-baru ini.

 

“Kami membawa isu tersebut kerana kami hadapi kekangan tapak untuk hospital (baharu) ini. Namun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berbincang dengan pihak Kementerian Pertahanan.

 

“Ini kerana tanah yang ingin dibina adalah milik kementerian tersebut. Semoga kita dapat sebahagian tanah berkenaan. Selepas dapat kebenaran guna tapak itu, baru langkah seterusnya untuk mulakan projek,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, pada Khamis.

 

Kerajaan Johor sebelum ini telah menyampaikan hasrat kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina HSA 2 bagi mengatasi isu kesesakan dua hospital sedia ada di Johor Bahru iaitu HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

 

Sementara itu, Tian Soon berkata, dua wad di HSI yang sebelum ini ditutup, kini sudah dibuka semula untuk perkhidmatan kesihatan sejak semalam.

 

Ujarnya, untuk permulaan, sebanyak 20 katil bagi setiap wad telah beroperasi dan jumlah tersebut akan bertambah secara berfasa.

 

“Wad 9A digunakan untuk pediatrik (kanak-kanak), manakala Wad 10A sebagai wad perubatan biasa. Pembukaan secara berfasa ini bagi memberi ruang kepada jururawat dan petugas baharu diberikan latihan. Sebanyak 54 katil boleh dimuatkan dalam satu satu wad. ” katanya.

 

Beliau memaklumkan penutupan kedua-dua wad tersebut sejak pandemik COVID-19 melanda itu berpunca daripada masalah kekurangan kakitangan di hospital berkenaan.

 

“(Jadi) Mereka hanya fokus kepada beberapa wad yang boleh dioperasikan. Mereka sudah ‘full force’ kerana hadapi kekurangan staf dan terpaksa memberhentikan dua wad tersebut. Dengan adanya penerimaan kakitangan yang baru, wad tersebut telah operasi semula,” katanya.

 

Terdahulu, KKM dalam kenyataan pada Isnin lalu, meluluskan peruntukan khas sebanyak RM771,600 bagi pembelian aset perubatan dan bukan perubatan untuk membolehkan dua wad di HSI itu, dibuka segera.

 

Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) turut dimaklumkan akan menerima 35 jururawat perjawatan tetap dan lain termasuk Penolong Perubatan Kesihatan serta beberapa jawatan kontrak lain yang sedang menunggu untuk disahkan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor