MAINJ KONGSI REZEKI DENGAN LIMA SEKOLAH
Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menghulurkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada lima buah sekolah terpilih di negeri ini, sebagai sebahagian daripada program Kongsi Rezeki.
“Alhamdulillah dengan adanya bantuan yang diberikan ini membolehkan kami membantu anak-anak di sekolah kami untuk mengikuti kelas-kelas tambahan dan juga untuk kami menyediakan makanan berkhasiat secukupnya,” ujar Pengetua SMK Ayer Baloi, Pontian, Andik Radhiah A. Aziz.
Tambahnya, beliau sangat terharu kerana SMK Ayer Baloi terpilih untuk menerima sumbangan dari MAINJ memandangkan rata-rata pelajar di sekolah berkenaan datang dari keluarga B40.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK HEM) SMK Ungku Husin Mersing, Yahaya Ali juga menzahirkan penghargaan kepada pihak MAINJ yang memastikan institusi wakaf dan baitulmal di negeri ini membantu golongan yang memerlukan.
“Kadang-kadang para pelajar hanya bawa RM2 sehari dan ada yang malu hendak datang ke sekolah sebab tiada duit belanja, tetapi kami di peringkat pengurusan sekolah pun ada usaha untuk cari dana bagaimana nak bantu mereka,” kata beliau.
Yahaya memberitahu sumbangan tersebut menjadi hak 176 para pelajar dari golongan asnaf yang sebelum ini turut dibantu oleh pihak sekolah dari segi penyediaan makanan dan kelas tambahan.
Terdahulu, berlangsungnya Majlis Penutupan Bulan Wakaf, Baitulmal dan Pelancaran Barakah Zakat 2023 yang disempurnakan oleh Penasihat MAINJ , YB Dato’ Dr. Nooh Gadot. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Ismail Abu.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor