PESAWAH, PENGILANG SAMBUT BAIK CADANGAN MENTERI BESAR


 

KESEDIAAN Johor menawarkan tanah untuk mengusahakan kawasan penanaman padi sekali gus membantu kerajaan dalam usaha menangani isu kekurangan bekalan beras disambut positif.

 

Bagi Abdul Rahim Husin, 56, memberitahu negeri ini mempunyai potensi bagi meningkatkan hasil tuaian padi dan usaha tersebut sememangnya memerlukan kawasan penanaman baharu.

 

“Selain kawasan baharu, peruntukan secukupnya untuk menaik taraf sistem pengairan dan saliran di kawasan sawah padi sedia ada juga perlu kerana ia amat penting untuk menjaga kualiti tanaman tersebut,” katanya ketika ditanya mengenai empat cadangan diutarakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi termasuk tawaran tanah Johor untuk kegiatan menanam padi kepada Kerajaan Persekutuan.

 

Pengusaha tanaman padi Sawah Ring, dekat Tangkak, itu turut melihat kawasan sekitar Panchor, Muar sebagai antara kawasan memiliki keluasan tanah serta berpotensi dijadikan kawasan baharu penanaman padi.

 

“Kawasan tersebut memang sudah disebut-sebut antara yang sesuai untuk menanam padi, tetapi saya berharap supaya ada kajian lanjut dari pihak bertanggungjawab untuk sama-sama kita membantu melahirkan lebih ramai pesawah di negeri ini,” ujarnya.

 

Beliau yang merupakan pesara guru kini bersama-sama tiga pengusaha menguruskan tanaman yang berkeluasan hampir 600 ekar dan berupaya menuai hasil sebanyak 400 metrik tan bagi setiap musim.

 

“Saya telah menerima bantuan berupa jentera menanam padi mesin ‘transplanter’ yang membantu saya mempercepatkan proses menanam. Lazimnya, proses dari menanam hingga ke menuai akan mengambil masa kira-kira tiga bulan sebelum saya menghantar kepada pihak kilang untuk proses lanjut,” tambah beliau.

 

Sementara itu, Pengarah Kilang Beras Jelapang Selatan (M) Sdn. Bhd., Mujahidd Che Hamid turut senada dengan Abdul Rahim malah menyambut baik cadangan dizahirkan Menteri Besar.

 

“Inilah masa yang sesuai sekiranya Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor untuk benar-benar fokus menambah kawasan tanaman padi kerana kapasiti kilang kami melebihi jumlah pengeluaran padi,” ujarnya.

 

Tambah Mujahid, beliau menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri yang sedia menawarkan tanah negeri untuk kegiatan menanam padi sekali gus menyelesaikan isu kekurangan beras putih tempatan ketika ini.

 

“Di peringkat kilang, kami terpaksa membeli padi dari luar Negeri Johor yang secara tidak langsung mengakibatkan peningkatan kos penghasilan beras. Justeru, kami sentiasa bersedia untuk bersama-sama menjayakan cadangan ini bagi meningkatkan hasil tanaman padi,” katanya.

 

Memulakan operasi sejak 1989, Kilang Beras Jelapang Selatan terletak di Muar itu telah berupaya mengeluarkan sebanyak 1,192 metrik tan beras setakat Ogos lalu, selain mempunyai kapasiti penyimpanan beras sebanyak 2,000 metrik tan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor