BELANJAWAN JOHOR 2024 : SEJAHTERA & INKLUSIF
Belanjawan Johor 2024 dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi memenuhi aspirasi Kerajaan Negeri melangkah ke hadapan bagi merealisasikan impian Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030. Bertemakan ‘Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat’, belanjawan dibentangkan juga membuktikan betapa Kerajaan Negeri mendengar suara hati rakyat yang terbanyak.
Dengan berpaksikan enam teras Agenda Maju Johor, belanjawan yang didukung 29 strategi dan 99 inisiatif ini telah digarap secara komprehensif dan menyeluruh kerana mencakupi pelbagai sektor. Terdapat strategi dan inisiatif sedia ada yang diteruskan, namun ditambah nilai. Tidak kurang pula, strategi dan inisiatif baharu yang menjadikan belanjawan dibentangkan kali ini dilihat bersifat holistik.
Sebagai contoh, jika tahun lepas tumpuan diberikan kepada pembangunan modal insan Orang Asli dan memperkasakan institusi Kampung Orang Asli (KOA), Belanjawan Johor 2024 pula menyaksikan Kerajaan Negeri memfokuskan pemerkasaan kepimpinan Batin dengan tambahan elaun serta kesejahteraan berpandu resmi masyarakat menerusi KOA dalam Inisiatif : Pengurusan dan Pentadbiran Orang Asli.
Contoh lain, Inisiatif : Program Semarak Subuh dengan peruntukan RM560,000 di 56 kawasan DUN di bawah Strategi : Memperkukuh Tadbir Urus Syiar Islam. Inisiatif ini menjadi ruang kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor beragama Islam mengimarahkan masjid dan surau bersama jemaah di DUN masing-masing yang menterjemahkan kesejahteraan umat.
Selain itu, belanjawan negeri tahun depan mengintepretasikan iltizam Kerajaan Negeri memacu industri pelancongan apatah lagi Tahun 2026 diumumkan sebagai Tahun Melawat Johor. Persiapan akan dimulakan lebih awal iaitu bermula tahun 2024 dengan menambahbaik infrastruktur destinasi dan produk pelancongan yang bukan sahaja menjadi imej negeri, malah merupakan tarikan pelancong ke negeri ini.
Menelusuri nashkah Belanjawan Johor 2024, Kerajaan Johor telah membuktikan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat menjadi fokus dengan perincian terhadap tindakan melibatkan perancangan mengikut acuan sendiri. Sektor ekonomi, infrastruktur dan prasarana, pendidikan dan kesihatan, pelancongan dan kelestarian, keterjaminan makanan, kebajikan, keusahawanan serta pembangunan Orang Muda Johor masih diberikan perhatian.
Kesemua strategi dan inisiatif yang ditawarkan berkeupayaan memberikan manfaat kepada setiap lapisan masyarakat dan mendorong kepada pertumbuhan dan pengukuhan ekonomi negeri dan sosial secara positif kerana tumpuan diberikan meliputi aspek mikro dan makro. Dengan potensi negeri dan kestabilan pentadbiran, ia mampu menyakinkan pihak luar untuk memilih Johor sebagai destinasi tujuan mereka.
Natijahnya, agenda pembangunan negeri dan rakyat diketengahkan dalam Belanjawan Johor 2024 mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam merealisasikan tema yang dipilih. Semoga permuafakatan Bangsa Johor dapat menjayakan setiap strategi dan inisiatif yang diketengahkan. Terima kasih juga kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan bagi 368 projek sambungan dan 142 projek baharu yang menjadi katalis kepada kemajuan Johor.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor