KAMPUNG SUNGAI MELAYU TERIMA LEBIH 15,000 PENGUNJUNG DALAM TUJUH BULAN

Kerajaan Negeri berharap Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu terus menarik pengunjung, menjana ekonomi setempat serta memperkenalkan khazanah Johor kepada pelancong dalam dan luar negara. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Inisiatif pelaksanaan kemudahan Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu terus mencatat perkembangan positif apabila merekodkan 15,188 pengunjung bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, meningkat lebih dua kali ganda berbanding hanya 6,256 pengunjung dalam tempoh sama tahun lalu.
Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, destinasi berkenaan kini telah diberi nafas baharu dengan penambahbaikan kemudahan serta pengalaman pelancongan yang lebih selesa dan menarik kepada pengunjung yang melawat perkampungan berkenaan.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk Laman Budaya, kiosk jualan, kawasan jeti, tempat letak kenderaan serta perkhidmatan ‘buggy’, di samping mengekalkan keunikan alam semula jadi dan kehidupan komuniti setempat.
Pengunjung juga kini boleh meneroka keindahan Sungai Melayu menerusi dua pilihan pengalaman iaitu ‘Boat Tour’ yang menggunakan bot kecil dan ‘River Cruise’ menggunakan bot yang lebih besar.
Bagi warganegara, tiket ‘Boat Tour’ ditawarkan pada harga RM35 untuk dewasa dan RM18 bagi kanak-kanak, manakala River Cruise berharga RM45 untuk dewasa dan RM22 bagi kanak-kanak.
Bagi bukan warganegara pula, tiket ‘Boat Tour’ ditawarkan pada harga RM60 untuk dewasa dan RM35 bagi kanak-kanak dengan operasi perkhidmatan bot berkenaan dibuka dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang dan ia ditutup pada setiap Jumaat.
Usaha memperkasa destinasi berkenaan turut selari dengan aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 dalam mengetengahkan khazanah alam, budaya dan kehidupan komuniti setempat sebagai antara tarikan pelancongan di negeri ini.
Kerajaan Negeri berharap Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu akan terus berupaya menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat dan memperkenalkan keunikan khazanah Johor kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan lawatan ke kawasan Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu, Iskandar Puteri bagi meninjau perkembangan serta kemudahan yang disediakan di destinasi berkenaan.
#JohorSafeZone
#MajesticJohor
#VisitJohor2026
#MehLahJohor
#KampungSungaiMelayu
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


