ZON EKONOMI KHAS JOHOR-SINGAPURA DIMETERAI


Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli (tiga dari kanan) dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Gan Kim Yong (tiga dari kiri) menandatangani memorandum persefahaman Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Memorandum persefahaman bagi mewujudkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah dimeterai secara rasminya hari ini.

 

Perjanjian tersebut ditandatangani antara Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Gan Kim Yong.

 

Majlis menandatangani memorandum berkenaan disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya Dato’ Lee Hsien Loong. Hadir sama, Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Desmond Lee.

 

Perjanjian ditandatangani ini adalah kesinambungan Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10 di Singapura pada Oktober tahun lalu sekali gus mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi.

 

Antara inisiatif yang bakal dilaksanakan ialah mewujudkan pusat sehenti bagi hal ehwal berkaitan ekonomi dan pelaburan di Johor serta pelaksanaan sistem kod QR bagi melancarkan pergerakan keluar masuk di kedua-dua pintu sempadan negara yang terdapat di negeri ini.

 

Selain itu, pelaksanaan JS-SEZ juga dijangka akan dapat memudahkan pergerakan manusia, barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara, selain dilihat mampu meningkatkan nilai perdagangan, peluang pekerjaan, pelaburan serta pentadbiran yang lebih berkesan.

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor