SANTUNAN KASIH RAMADAN BAWA KECERIAAN KEPADA KOMUNITI WILAYAH KEJORA
Kehadiran bulan Ramadan kali ini mengukir senyuman kira-kira 450 anak yatim wilayah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) apabila menerima sumbangan duit raya melibatkan peruntukan keseluruhan RM50,000 dan diraikan dalam majlis berbuka puasa.
Sumbangan berjumlah RM14,000 turut disampaikan kepada tujuh pusat tahfiz al-Quran berdaftar wilayah KEJORA selain sumbangan bernilai RM500 dan RM300 kepada lebih 90 buah masjid serta surau di kawasan Parlimen Simpang Renggam.
Tidak dilupakan, penyampaian geran pengurusan dan aktiviti bernilai RM20,000 disalurkan kepada 10 pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) wilayah KEJORA untuk pembangunan orang kurang upaya (OKU) melibatkan pemulihan, latihan, pendidikan serta integrasi sosial.
Kesemua sumbangan tersebut disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada Majlis Santunan Kasih Ramadan 1445H di Masjid Jamek Layang-Layang, Kluang, hari ini.
Turut hadir majlis anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bersama KEJORA itu adalah YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi KEJORA serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor