JDT MEDIUM PERPADUAN BANGSA JOHOR


Penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapatkan jersi musim baharu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. | Foto Ihsan Johor Southern Tigers

 

Hampir dua juta tontonan dalam masa 48 jam bagi video jersi baharu musim 2024/2025 di laman Instagram Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Ini bukanlah perkara luar biasa untuk kelab bolasepak ternama ini, malah ia merupakan kebiasaan untuk mencatat sejarah dalam segala hal walaupun pada awal kemunculannya dianggap hanya sekadar ‘kisah dongengan’.

 

Hari ini, apa yang dianggap mustahil… ia sudah direalisasikan dan hampir-hampir sahaja perkataan mustahil itu tidak ada dalam kamus JDT. Harimau Selatan kini juga sudah menjadi pelopor bagi segala aspek dalam bola sepak, di dalam padang mahu pun di luar padang.

 

JDT juga tampil kelainan dalam video pengenalan jersi kali ini. Video tersebut lebih mendekati penyokong. Ia lebih menjiwai betapa pentingnya peranan penyokong untuk sesebuah kelab bola sepak. Ia lebih mengetengahkan apa yang sedang berlaku di sekeliling fenomena bola sepak. Lebih penting, ramai yang tidak sedar, mesej perpaduan Bangsa Johor yang disuntik sepanjang video tersebut.

 

Sebagaimana yang telah dipersembahkan di dalam video tersebut, hampir setiap peringkat umur daripada kanak-kanak yang sedang bermain permainan video Pro Evolution Soccer hingga ke pemandu teksi yang sudah berumur pun mengambil tahu apa yang sedang berlaku dalam JDT. Kanak-kanak tersebut juga turut mengidolakan pemain tempatan yang sedang meningkat naik, Arif Aiman.

 

Mesej yang paling jelas dalam persembahan video pengenalan jersi kali ini adalah simboliknya perpaduan Bangsa Johor. Adegan pemandu teksi yang berbangsa Melayu, Cina dan India duduk semeja bermain dam haji sambil berbual perihal JDT melambangkan betapa kelab bola sepak ternama ini berjaya mengutuhkan lagi penyatuan satu bangsa di bawah payung Bangsa Johor.

 

Kekuatan jenama Johor Darul Ta’zim ini terbukti bahawa jenama ini akan dibualkan tidak kira di mana penyokong berada. Adegan perbualan tentang perlawanan JDT tidak hanya dibualkan di Stadium Sultan Ibrahim, malah turut ‘merasuki’ hingga ke dapur memasak, stesen teksi di bahu jalan dan juga di dalam kamar tidur.

 

Untuk tambahan, kerjasama antara JDT dan jenama Nike yang telah memasuki tahun ke-10. Jersi yang dipersembahkan kali ini merupakan lambang legasi kejayaan sedekad mendominasi serta prestij jenama antara kedua-dua pihak.

 

“Saya suka melihat orang bersatu walau apa pun bangsa. Melayu, Cina, India mengibarkan bendera Johor. Saya teruja melihat warna biru merah di stadium” – Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor (2014)

 

Mengimbau kembali apa yang telah dititahkan Baginda, situasi tersebut telah direalisasikan dan dipersembah dalam sebuah rangkuman video pengenalan jersi JDT musim 2024/2025 yang menyentuh emosi para penyokong dan apa yang lebih penting, mereka sentiasa dihargai. Tahniah JDT!

 

#Chapter2
#SudutPandangPenyokong
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor