REZEKI TUJUH SEKELUARGA TUNAI HAJI BERSAMA


Prof Ts. Dr. Safian bin Sharif, Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Pagoh bersama keluarga berangkat ke Tanah Suci secara bersama untuk mengerjakan ibadah haji bagi musim 1445H / 2024M. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Menabung sejak awal usia dan mendaftar giliran haji lebih awal ternyata mengundang rezeki kepada tujuh sekeluarga berangkat ke Tanah Suci secara bersama untuk mengerjakan ibadah haji bagi musim 1445H / 2024M.

 

Berkat tabungan sejak 15 tahun lalu, Prof Ts. Dr. Safian bin Sharif, Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Pagoh menzahirkan kesyukuran kerana terpilih sebagai Duyufurrahman bersama isteri dan tiga anak berserta dua menantunya.

 

Rezeki mengerjakan ibadah bersama ahli keluarga disifatkan sebagai sangat istimewa apabila dua anaknya, Nurul Munirah, 36, dan Nuurul Izzati, 33, yang melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat diberikan kebenaran bercuti bagi tujuan tersebut.

 

Malah rayuan dikemukakan dua menantunya iaitu Muhammad Ashraf Ahmad, 36, dan Shahida Abdul Razak, 28, kepada Lembaga Tabung Haji (TH) untuk dipilih sebagai ‘Tetamu Allah’ pada musim haji kali ini turut diluluskan.

 

Safian, 63, yang akan mengerjakan ibadah haji buat kali ketiga pada tahun ini, merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas pengurusan jemaah haji Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) yang sistematik untuk ke Tanah Suci.

 

Terdahulu, beliau sekeluarga merupakan antara 137 jemaah haji RKJ bagi kumpulan terakhir yang untuk berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji musim 1445H / 2024M, semalam.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor