SUASANA MERIAH REWANG IBADAH KORBAN


Program Ibadah Korban Perdana Kota Iskandar 1445H / 2024M diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Johor dan isteri, YDH. Puan Sri Datin Dr. Hajah Noor Azizah Abdul Latif yang juga Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Mengambil keberkatan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini, lebih 200 warga kerja Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor bergotong royong menjayakan Program Ibadah Korban Perdana Kota Iskandar 1445H / 2024M di kawasan tempat letak kenderaan Blok C, Bangunan Dato’ Jaafar Muhamad, Kota Iskandar, hari ini.

 

Program bermula seawal jam 9 pagi itu merupakan anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Negeri Johor dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Southern Volunteers (SV) Kota Iskandar.

 

Sebanyak 12 ekor lembu termasuk lembu sado seberat hampir 750 kilogram (kg) sumbangan YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor telah disembelih terlebih dahulu di pusat penyembelihan dan kemudiannya dibawa ke Kota Iskandar untuk aktiviti melapah, memotong dan membungkus daging korban.

 

Kesemua daging korban seterusnya diagihkan kepada lebih 1,500 penerima termasuk golongan fakir dan miskin yang diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ). Program diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Johor dan isteri, YDH. Puan Sri Datin Dr. Hajah Noor Azizah Abdul Latif yang juga Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor