TERIMA KASIH USTAZ NOH!


Mohd Noh Ab. Samad mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) kategori lelaki. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Pengorbanan dan keringat Mohd Noh Ab. Samad sepanjang 36 tahun mendidik Bangsa Johor mengenal ilmu agama mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) kategori lelaki.

 

Bapa kepada 11 cahaya mata yang telah mengajar di enam sekolah agama akui tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menerima penghargaan sedemikian kerana perkhidmatan diberikan ikhlas kerana Allah SWT dan demi anak bangsa.

 

Mohd Noh yang mula mencurahkan bakti pada usia 20 tahun di Sekolah Agama Pengkalan Rinting memuji komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan syiar Islam di negeri ini termasuk melalui pemerkasaan institusi pendidikan agama.

 

Beliau yang kini merupakan guru takmir dan jurunikah menitipkan pesanan kepada generasi baharu guru SAKJ agar menanam rasa cinta terhadap ilmu agama selain sentiasa mendekati masyarakat di surau serta masjid bagi meningkat keyakinan diri untuk mengajar.

 

Terdahulu, Mohd Noh menerima anugerah berkenaan sempena Majlis Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor Peringkat Negeri kali ke-26 Tahun 2024 yang telah disempurnakan perasmian oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.

 

Pada majlis berkenaan, Kerajaan Negeri menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM5.48 juta untuk bilik guru SAKJ, Sekolah Menengah Agama Negeri Johor (SMANJ) dan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) selain Badan Kebajikan Sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

 

Hadir sama, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor; YBhg. Jamaludin A. Hamid, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan YBhg. Yosree Ikhsan, Timbalan Pengarah Operasi JAINJ.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor