SKUAD PETANQUE JOHOR HADIAHKAN EMAS BUAT JURULATIH
Skuad petanque wanita Johor mendedikasikan kemenangan istimewa diraih pada hari terakhir Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 buat ketua jurulatih, Ruhaizal Abu Amin yang banyak berkorban demi kebajikan pasukan.
Siti Zulika Zainal Abidin, 19, yang membuat penampilan sulung di pentas SUKMA menzahirkan kesyukuran selepas dapat membantu kem petanque Johor mencapai sasaran satu pingat emas menerusi acara berpasukan wanita selepas menewaskan Pahang 2-1.
Kejayaan tersebut disifatkannya sebagai hasil kerja keras berpasukan dan komitmen atlet bagi membalas kepercayaan serta pengorbanan dilakukan oleh individu bergelar jurulatih yang sentiasa ada bersama dengan pasukan.
Sementara itu, Nur Aira Nabilah Saiful Aman, 14, menganggap Ruhaizal sebagai watak penting dalam membentuk skuad wanita yang berkualiti untuk bersaing di pentas SUKMA seterusnya berjaya menepati sasaran untuk menghadiahkan emas.
Malah, Aira yang turut menyumbang pingat perak dalam acara Trio Wanita bersama Siti Zulika dan Nur Syuhada Amany Rosli menjadikan kejayaan tersebut sebagai batu loncatan untuk terus cemerlang dalam edisi SUKMA yang akan datang.
Secara keseluruhan, kem petanque Johor menamatkan kempen SUKMA XXI Sarawak 2024 dengan mengutip lima pingat keseluruhan menerusi satu pingat emas, satu perak dan tiga gangsa berbanding tiga pingat pada edisi sebelumnya.
#RiseUpJohor
#SukmaSarawak2024
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor