POTENSI FCSFZ KUKUH PELABURAN JOHOR


DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan untuk mencemar duli berangkat ke Majlis Pengumuman Pakej Insentif Cukai Zon Kewangan Khas Forest City di Forest City Marina Hotel. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Penubuhan Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) dengan tawaran insentif fiskal komprehensif diyakini mampu mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab pelaburan penting sekali gus mencipta peluang pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang.

 

Keyakinan tersebut dizahirkan Muhammad Zafri Zulkeffeli, Timbalan Ketua Ekonomi BIMB Securities Sdn. Bhd. selepas melihat senario dan potensi ekonomi Johor yang didominasi oleh sektor perkhidmatan dengan lebih 50 peratus dipacu industri kewangan, insurans dan perkhidmatan perniagaan.

 

Strategi kadar cukai pendapatan korporat ultra rendah bermula sifar hingga lima peratus selain sifar cukai bagi firma pengurusan kekayaan yang disasarkan untuk menarik individu dan keluarga berpendapatan tinggi dijangka menarik lebih ramai pelabur global ke Johor.

 

Dengan lebih 8,030 pejabat kekayaan beroperasi di seluruh dunia, jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 75 peratus menjelang tahun 2030 yang membolehkan unjuran aset pengurusan berkembang daripada AS$3.1 trilion kepada AS$5.4 trilion.

 

Selain itu, BIMB Securities Sdn. Bhd. juga optimis perancangan dan pelaksanaan yang tepat ditambah dengan peranan signifikan FCSFZ dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi mengubah landskap pelaburan negeri seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor