PERTEMBUNGAN DUA PASUKAN TERBAIK ASIA TENGGARA
Perlawanan keenam peringkat liga, Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa menyaksikan pertembungan dua kelab gergasi Asia Tenggara iaitu juara Liga Super Malaysia, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara Liga Thai 1, Buriram United.
Pertahanan JDT, Jordi Amat optimis dengan perlawanan esok yang merupakan penentu pasukan terbaik di Asia Tenggara.
“Esok merupakan perlawanan penting bagi kami, kerana kedua-dua pasukan telah mengumpul tujuh mata selepas lima perlawanan. Kami hanya ingin menang dan dapatkan tiga mata. Malam esok kami mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri, kami mempunyai penyokong-penyokong yang sentiasa mengharapkan keputusan positif.
“Ia merupakan satu motivasi yang besar bagi kami, saya dan pasukan telah bersedia kerana kami bakal berhadapan dengan pasukan terbaik di Thailand. Pada kami, perlawanan ini agak sukar tetapi kami perlu fokus bermain secara pasukan dan dapatkan semula ‘good feelings’ selepas apa yang telah berlaku dalam perlawanan lepas”, ujar Jordi dalam sidang media pra perlawanan.
Hector Bidoglio memaklumkan bahawa tiada permasalahan dalam menentukan kesebelasan utama skuad Harimau Selatan dan beliau yakin semua pemain berada dalam motivasi terbaik dan bersedia untuk beraksi.
“Seperti yang saya selalu maklumkan, setiap perlawanan adalah ibarat ‘final’ bagi kami. Dengan mentaliti tersebut, pemain JDT biasa dengan tekanan perlawanan. Walaupun kelab ini sedang bertanding dalam tiga kejohanan yang berbeza, saya tahu pemain JDT kekal fokus dengan setiap perlawanan.
“Kami perlukan tiga mata tersebut, kami perlu tunjuk filosofi bola sepak kami di peringkat tertinggi Asia. Seperti yang saya selalu maklumkan, niat kami adalah layak ke peringkat seterusnya,” jawab Hector.
Perlawanan antara JDT dan Buriram United yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim bakal menyaksikan kehadiran penuh penyokong apabila dikhabarkan hampir 30,000 tiket perlawanan telah terjual .
Luaskan Kuasamu Johor!
#ACLElite
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor