DTUPBJ, ASITA METERAI MOU KUKUH SEKTOR PELANCONGAN


YB Dato’ Haji Mohd Haffiz Haji Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan YBhg. Tuan Haji Ahmad Nazir Haji Mohd Nasir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menyaksikan pemeteraian Memorandum persefahaman (MoU) antara DTUPBJ dan ASITA. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Dewan Teraju Usahawan dan Peniaga Bumiputera Johor (DTUPBJ) menandatangani Memorandum persefahaman (MoU) bersama Asosiasi Perusahaan Perjalanan Wisata Indonesia (ASITA) yang membuka lembaran baharu memperkukuh hubungan sektor pelancongan antara Malaysia terutama Johor dan Indonesia.

 

Jalinan kerjasama strategik berkenaan merupakan usaha DTUPBJ meletakkan Iskandar Puteri dan Johor Bahru sebagai zon pelancongan utama menerusi pengenalan pelbagai produk serta destinasi sedia ada sekali gus menjadi langkah awal persediaan menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

 

Selain itu, MoU dimeterai bersama ASITA yang terdiri daripada lebih 7,000 agensi pelancongan di seluruh 38 provinsi Indonesia itu juga bagi memacu dan menggalakkan pembangunan industri serta mempromosikan pelancongan Islamik atau ‘Muslim Tour’ di rantau ASEAN.

 

Pada masa sama, kerjasama terjalin mencetuskan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan dan memperkenalkan pakej pelancongan khas antara Malaysia khususnya Johor dan Indonesia serta menjadi titik mula promosi destinasi sedia ada termasuk Galeri Aura Islam, Lace Boutique Hotel, Forest City Golf Hotel dan Pandan Uptown Market.

 

Terdahulu, MoU berkenaan ditandatangani antara YB Dato’ Haji Ismail Karim, Presiden DTUPBJ dengan YBhg. Dr. N. Rusmiati, Ketua Umum ASITA disaksikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Haffiz Haji Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan YBhg. Tuan Haji Ahmad Nazir Haji Mohd Nasir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor