JOHOR ISYTIHAR CUTI PERISTIWA ISNIN DEPAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor isytihar 28 April 2025 (Isnin) sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh Rakyat Johor.
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mengisytiharkan Isnin depan, 28 April 2025 Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat Johor sebagai tanda sokongan padu dan penghargaan terhadap pencapaian cemerlang pasukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Cuti khas berkenaan diisytiharkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor sebagai menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor susulan kejayaan skuad Harimau Selatan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/2025.
Kerajaan Negeri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Pemangku Sultan Johor atas visi, perancangan dan usaha luar biasa dalam menjadikan JDT sebuah kelab bola sepak berprestij bukan sahaja di negara ini malah turut disegani di rantau Asia.
Menteri Besar Johor turut mengajak seluruh penyokong Harimau Selatan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan dan menjadi pemain ke-12 selain mendoakan semoga kemenangan menjadi milik JDT.
JDT bakal menentang Sri Pahang FC dalam perlawanan akhir sekali gus memburu koleksi kejuaraan Piala Malaysia buat kali kelima selepas kejayaan merangkul trofi berprestij berkenaan pada musim 2017, 2019, 2022 dan 2023.
Selain itu, Bangsa Johor juga dijemput untuk hadir beramai-ramai dengan mengibarkan bendera biru merah dan meraikan pasukan JDT sempena sambutan penuh gilang-gemilang untuk “Chapter 2: The 11” di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad, 27 April ini.
#JDT
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor