PEJABAT BAHARU JTDC JADI PUSAT STRATEGIK PEMBANGUNAN BAKAT JOHOR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor meninjau gerak kerja pembinaan pejabat baharu JTDC di Medini 9. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Pembinaan pejabat baharu Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang kini mencapai 35 peratus kemajuan bakal menjadi simbol komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa pembangunan modal insan serta merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan memenuhi keperluan serta kehendak pihak industri.

 

Dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada awal Julai tahun ini, pejabat JTDC yang terletak di Medini 9 itu akan berfungsi sebagai pusat pembangunan bakat yang menyeluruh, sekali gus menjadi platform strategik bagi menjalankan pelbagai program termasuk latihan dan seminar bagi pembangunan bakat di negeri ini, jelas Herman Raban, Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor.

 

Pejabat tersebut juga akan menjadi lokasi utama pelaksanaan program kesedaran, sesi taklimat serta menerima lawatan melibatkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang bertujuan untuk membantu generasi muda memahami peranan JTDC serta merancang hala tuju masa depan kerjaya mereka dengan lebih jelas.

 

Selain peranannya sebagai pusat operasi, pejabat baharu ini juga mencerminkan imej profesional JTDC dan kesungguhan Johor dalam menarik pelabur serta membina keyakinan terhadap keupayaan negeri dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor meninjau gerak kerja pembinaan pejabat baharu JTDC di Medini 9, semalam.

 

#JTDC
#GajiPremium
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor