AGENDA MENGANGKAT HATI NURANI BANGSA JOHOR

Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Keempat, Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
Oleh – Imran Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor
1. Selepas tujuh hari bersidang, tirai Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Keempat, Dewan Negeri Johor Ke-15 dilabuhkan dengan penuh bermakna serta sarat dengan pengisian.
2. Bagai muafakat lalu di dalam gelap, adat lalu di tengah terang. Semua 56 Ahli Dewan Negeri Johor termasuk pihak kerajaan dan pengimbang seia sekata dalam memperjuangkan hak kepentingan rakyat. Ia sekali gus menjunjung tinggi titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang mahukan persidangan berjalan dengan penuh tertib dan beradab.
3. Sebanyak 51 soalan lisan dijawab secara langsung oleh Kerajaan Negeri, manakala 115 lagi disusuli jawapan bertulis, selain 180 soalan bertulis turut diberi maklum balas yang mencerminkan tekad wakil-wakil rakyat menunaikan amanah menyemak dan menyeimbangkan dasar demi kepentingan rakyat.
4. Titah perasmian Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, menjadi kompas hala tuju negeri. Baginda menyeru agar pembangunan ekonomi, pendidikan, infrastruktur, kesejahteraan rakyat, urus tadbir, sukan dan pelancongan diberi keutamaan, demi melakar landskap pembangunan negeri yang holistik dan berimpak tinggi.
5. Seramai 42 Ahli Dewan Negeri Johor telah mengambil bahagian perbahasan Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dengan membawa suara rakyat dari segenap penjuru negeri. Perbahasan mereka sarat dengan isu-isu strategik dan setempat, membawa denyut nadi Bangsa Johor yang mereka wakili.
6. Fokus utama adalah memperkukuh daya saing ekonomi, memperluas akses pendidikan berkualiti, menyediakan peluang pekerjaan bergaji premium serta mempercepat pembangunan infrastruktur dan perumahan serta memastikan nikmat limpahan pembangunan dapat dirasai segenap lapisan masyarakat di utara, selatan, timur dan barat Johor.
7. Dewan Negeri Johor terus menzahirkan fungsinya sebagai wadah utama demokrasi negeri, mengangkat suara rakyat dan menjadi pentas penting dalam mencorak masa depan Johor yang lebih progresif, mampan dan inklusif serta memperkukuh daya tahan Johor dalam menghadapi cabaran global.
8. Suasana perbahasan yang harmoni dan matang menyerlahkan kematangan politik ‘cara Johor’. Soalan-soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan dari kedua-dua belah pihak bersifat membina, kritis dan berpaksikan fakta.
9. Persidangan tidak lagi hanya sekadar menjadi persidangan berkala, sebaliknya menjadi platform pembentangan idea, semak dan imbang dasar serta medan mencadangkan solusi kepada pelbagai cabaran yang dihadapi oleh rakyat.
10. Kerajaan Johor pula terus agresif memainkan peranan aktif dan strategik dalam membentangkan pelan pembangunan yang berasaskan data serta aspirasi rakyat dalam usaha menjayakan agenda besar iaitu Maju Johor 2030.
11. Sehingga Mei ini, sebanyak 85.4 peratus daripada 244 inisiatif dibentangkan di dalam Belanjawan Johor 2025 berada dalam fasa pelaksanaan manakala 7.9 peratus akan mula dilaksanakan pada Jun ini diikuti 6.7 peratus telah pun selesai dijayakan.
12. Inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), agenda perumahan mampu milik, pendidikan dan peluang pekerjaan bergaji premium pula adalah bukti iltizam Kerajaan Negeri untuk mengangkat ekonomi dan kesejahteraan negeri ke tahap yang lebih tinggi, selari dengan arus globalisasi dan peralihan teknologi.
13. Peranan blok pengimbang turut diiktiraf sebagai suara semak dan imbang – membawa perspektif segar, menegur dengan hujah, dan menyumbang secara konstruktif ke arah pentadbiran yang lebih telus dan bertanggungjawab.
14. Pendekatan politik ‘cara Johor’ yang matang ditunjukkan telah membuktikan bahawa walaupun berbeza pandangan, matlamatnya tetap satu iaitu kerjasama ke arah menjadikan Johor lebih baik untuk segenap lapisan Bangsa Johor.
15. Cadangan-cadangan perbahasan yang dikemukakan merangkumi keperluan menaik taraf infrastruktur luar bandar, pembangunan modal insan dalam kalangan belia, hinggalah kepada inisiatif kesejahteraan sosial telah memperlihatkan kesungguhan dan komitmen setiap Ahli Dewan dalam menyumbang kepada pembangunan negeri.
16. Idea diketengahkan turut mencerminkan kesediaan wakil rakyat Johor untuk melangkaui kepentingan politik dan menyantuni keperluan sebenar rakyat. Budaya perbahasan yang berteraskan fakta, adab serta semangat kolektif telah menjadi nadi utama sepanjang perjalanan persidangan Dewan Negeri Johor.
17. Ketika Johor melangkah ke lima tahun terakhir menuju tahun 2030, Dewan Negeri Johor sebenarnya memainkan peranan signifikan dalam memastikan segala dasar dan pelaksanaan inisiatif bergerak seiring dengan hasrat menjadikan Johor sebagai negeri maju.
18. Justeru, Dewan Negeri Johor bukan hanya sebuah institusi perundangan di peringkat negeri, tetapi ia adalah medan kesatuan pemikiran demi rakyat. Di sinilah suara masyarakat diterjemah menjadi dasar, cabaran diubah sebagai peluang dan perbezaan ditaakul kepada kekuatan.
19. Dengan asas yang kukuh, kepimpinan yang berwibawa serta kesungguhan semua pihak, Johor berada di landasan tepat untuk muncul sebagai negeri contoh, bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau ini.
20. Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas titah penuh hikmah yang menjadi pedoman dan ingatan kepada semua Ahli Dewan Negeri dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan berkesan demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Apa jua yang berlaku, Johor tetap dengan cara Johor. Johor mesti jadi Johor.
#LetThemWatchTheNews
#WTN
#JohorMestiJadiJohor
#DewanNegeriJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor