’MEREKA’ SELALU BUAT KITA MENANGIS

Foto arkib MDJ.

 

 

 

Oleh Badrul Kamal Zakaria
Editor Kanan Media Digital Johor

 

 

 

Sudah penat menanam padi,
Padi orang juga yang dibeli,
Sudah banyak Johor menabur budi,
Semuanya buat-buat tidak ambil peduli.

 

Duit orang dibuatnya berjoli,
Sampai lupa kawan sendiri,
Kalau hati dah tak nak peduli,
Biarkan Johor hidup berdikari.

 

Entah mengapa… apa sahaja yang dilakukan oleh Johor pastinya akan disusuli dengan reaksi ‘bebal’ sesetengah pihak meskipun ia bukan sahaja memberi manfaat kepada Bangsa Johor tetapi juga turut mampu memakmurkan rakyat di negeri lain dalam Persekutuan Malaysia.

 

Perkara ini bukan perkara yang baharu berlaku. Episod demi episod dengan skrip sama dimainkan berulang kali tetapi pelbagai watak yang berbeza. Apa salah Johor sebenarnya? Adakah Johor terlalu ‘laju’ melampaui zaman? Atau mereka tidak mempunyai upaya untuk mengejar? Atau sifat ‘mazmumah’ sudah sebati dalam diri mereka?

 

Johor sentiasa ikhlas dalam berkawan. Selalu menghulurkan salam terlebih dahulu walaupun salam itu disambut dengan sulaman tangan daripada watak opera yang hati penuh dengan iri, benci, dengki, tidak senang duduk dan lebih parah… sanggup untuk mensabotaj rakan senegaranya tanpa sebarang sebab, punca dan alasan.

 

Johor sentiasa ikhlas dalam berkawan. Daripada sebelum, semasa dan selepas terbentuknya Malaysia, Johor sentiasa membantu dengan rasa tidak jemu demi sebuah negara baharu yang hanya lahir pada 1957.

 

Johor tidak kisah menjadi sebuah negeri yang sememangnya sedia MERDEKA untuk menyertai sebuah persekutuan negara yang baharu ‘Hendak Merdeka’.

 

Johor tidak kisah menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia walaupun Johor sudah pun menjadi sebuah negeri yang moden sebagaimana yang telah dilakukan oleh Kesultanan Johor yang juga sezaman apa yang telah dilakukan oleh Maharaja Meiji di Jepun dan Raja Chulalongkorn di Thailand.

 

Johor tidak kisah model Pegawai Tadbir Negeri Johor atau lebih dikenali sebagai JCS yang sudah diperkenalkan sejak sekian lama di ‘copy paste’ sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) hari ini.

 

Johor tidak pernah tamak. Jika Johor tamak, sudah tentu Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar sedia untuk menaiki takhta singgahsana negara sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama lagi. Almarhum Baginda sendiri dengan tertib menolaknya kerana faktor usia, sedangkan ada pemimpin negara masih ingin menjadi pemimpin walaupun sudah masuk kelompok ‘nonagenarian’.

 

Johor tidak pernah haloba. Jika Johor haloba sudah tentu Johor tidak akan menyertai Persekutuan sebuah negara baharu yang hendak Merdeka dan seterusnya melupakan cita-cita untuk menyatukan kembali apa yang pernah dikatakan sejarawan sebut sebagai ‘Empayar Johor Riau’.

 

Johor tidak patriotik. Jika Johor tidak patriotik, bagaimana mungkin terjadinya kisah semangat Bangsa Johor yang bangkit melawan agenda ‘Ganyang Malaysia’ ketika era konfrontasi Indonesia-Malaysia di bawah Presiden Sukarno sebagaimana yang dipamerkan oleh rakyat Johor di kawasan Tenang, Labis dan beberapa lokasi lain di Pontian?

 

Johor pentingkan diri sendiri. Jika Johor pentingkan diri sendiri, bagaimana mungkin pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSN) dikecilkan peranannnya bagi memberi laluan untuk pasukan keselamatan negara iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Johor kedekut. Jika Johor kedekut, bagaimana Johor kini menjadi antara penyumbang terbesar kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara hingga memberi manfaat besar kepada kemajuan pembangunan negara bangsa Malaysia yang berdaulat dan turut dinikmati oleh negeri lain di seluruh negara.

 

Tapi apa salah Johor hingga mereka buat kita sering kecewa, sedih dan kadang terasa berkecil hati. Apa salah Johor hingga ada yang buat yang mahu mensabotaj apa sahaja yang Johor ingin lakukan.

 

Mereka buat Johor sedih. Sedih kerana perjuangan hampir setengah abad dalam menuntut kedaulatan negara sejak Peta 1979 dikeluarkan terhadap Pulau Batu Puteh telah disia-siakan begitu sahaja.

 

Johor rasa sedih kerana kedaulatan Pulau Batu Puteh dianggap hal yang remeh hingga ‘mereka’ sanggup mengangkat ‘bendera putih’ tanpa melawan. Johor lebih sedih apabila ‘pelakunya’ dibiarkan terlepas dari dibawa ke muka pengadilan atas sebab yang paling ‘konyol’ pernah berlaku di atas muka bumi ini.

 

Johor sedih kerana isu tembolok politik lebih menjadi keutamaan. Usaha jalanan untuk menjatuhkan pemimpin, usaha ‘menebuk atap’ sentiasa menjadi keutamaan dan mendapat tempat di serata negara. Isu Pulau Batu Puteh dibiarkan kerana itu dianggap sebangai hanya MASALAH JOHOR dan bukannya nasional.

 

Johor kecewa kerana usaha untuk membangunkan negerinya diremehkan, difitnah dan ada kalanya disabotaj oleh sesetengah pihak yang hatinya sudah terlalu hitam. Johor kecewa kerana usahanya untuk memajukan rancangan Forest City pernah difitnah dengan teruk dan kejam oleh individu yang gilakan kuasa.

 

Johor kecewa kerana menjadi mangsa ‘peperangan politik’ hingga menyebabkan Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) pernah dibatalkan. ‘Mereka’ lebih sanggup membayar penalti yang tinggi daripada melihat Bangsa Johor mengecapi kemakmuran daripada kemajuan teknologi.

 

Apa yang lebih Johor kecewa ialah sikap ‘Angguk Enggan, Geleng Mahu, Unjuk Tidak Diberikan’ daripada Kerajaan Persekutuan. Malah ada projek-projek yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan hanyalah sebagai ‘penyedap mulut’ semata-mata hingga ada yang tergendala, terbengkalai, tidak berfungsi atau yang lebih sedih ialah ‘sekadar papan tanda’ sahaja.

 

Lihat sahaja Projek Tebatan Banjir Sungai Kesang yang sudah hampir satu dekad pelaksanaannya juga masih belum dapat disiapkan. Kegagalan projek itu siap menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Tangkak masih lagi berdepan dengan kejadian banjir yang masih teruk terutama pada musim tengkujuh.

 

Tidak cukup dengan itu, Projek Jalan Muar yang menghubungkan daerah Muar-Tangkak-Segamat juga pernah mengalami kelewatan selepas peruntukan asal ‘didakwa’ dialihkan ke tempat lain atas alasan kononnya kawasan lain lebih memerlukan. Adakah ‘tempat itu lebih penting’ berbanding daripada kesejahteraan Bangsa Johor di kawasan itu? Apa pun nasib baik jugalah projek itu akhirnya kembali dilaksanakan dengan Fasa 1 dan 2 sudah disiapkan dan kini menunggu fasa ketiga siap dilaksanakan walaupun ia lewat lebih dari 10 tahun.

 

Mengenai titah KDYMM SPB YDPA Sultan Ibrahim pada pembukaan Persidangan Dewan Negeri Johor 2023 berkaitan dengan keadaan jalan raya Johor Bahru-Mersing, penulis penasaran kenapakah jalan berkenaan masih belum dinaik taraf hingga memaksa Baginda Tuanku sendiri menitahkannya.

 

Pada hemat penulis yang agak dangkal ini, bukankah wakil rakyat di Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing di Johor hingga membawa Rompin, Pekan dan Kuantan pernah diwakili oleh mereka yang berjawatan ‘MENTERI’ suatu ketika dahulu?. Sepatutnya dengan adanya ‘Menteri’ tu…dah lama kita ada ‘highway’ di sebelah Pantai Timur Johor kan?. Kalau penulis silap, mungkin anda boleh minta bantuan ‘encik google’ untuk membetulkan penulis.

 

Begitu juga dengan isu kesihatan. Penulis sekali penasaran dan tidak mengerti kenapa isu berkenaan juga masih lagi susah untuk diselesaikan. Bukankah Johor juga pernah mempunyai beberapa wakil rakyatnya yang pernah dilantik sebagai MENTERI KESIHATAN… sepatutnya dah tak ada fasiliti kesihatan daif, kekurangan kakitangan dan lain-lain.

 

Seperti kata pepatah Arab… ‘Bila datangnya Air, Batallah Tayammum’. Johor bernasib baik mempunyai pemimpin seperti DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang tanpa rasa takut, segan, malu untuk bersuara demi kepentingan Johor dan rakyatnya.

 

Setiap bait titah yang keluar daripada mulut Baginda Tunku pastinya untuk kesejahteraan Bangsa Johor secara keseluruhan. Baginda Tunku tidak pernah takut untuk bersuara walaupun siapa pun yang dihadapi kerana kata keramat ‘Demi Johor’ sentiasa tersemat dalam hati Baginda.

 

Penulis juga bersetuju dengan pemikiran DYAM Tunku Mahkota Ismail supaya Kerajaan Persekutuan perlu memulangkan kembali 25 peratus hasil cukai yang dikutip demi untuk memajukan negeri dan mensejahterakan rakyatnya.

 

Sudah-sudahlah Johor dibuli. Apa yang Johor beri tidak dihargai. Hasil dari Johor tetapi hanya sedikit yang Johor boleh nikmati. Biarlah Johor berdiri atas kaki sendiri, memajukan negeri demi ibu pertiwi.

 

Sudah cukup Johor bersedih. Johor pernah menangis. Tapi tangisan itu bukan sebab lemah, tetapi membuang rasa ‘penat’ untuk kembali bangkit melawan kerana Johor tetap Johor dari dulu, kini dan selamanya.

 

Kalau dah tiada bahu untuk Johor tumpang menangis…. Kita masih ada sejadah untuk bersujud… Kepada Allah kita berserah. Johor Maju Gerak Sendiri.

 

#WTN
#Pulangan25peratushasilcukai
#JohorGerakSendiri
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor