RM132.67 JUTA LAKSANAKAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR NEGERI JOHOR

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Sejumlah RM132.67 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi pelaksanaan beberapa projek pembangunan infrastruktur di Johor sejak tahun 2023 bagi memastikan komuniti desa tidak akan sesekali ketinggalan dalam arus kemajuan negeri.
Bagi maksud memperkasa infrastruktur asas desa, tiga komponen fizikal utama projek pembangunan telah dijalankan di luar bandar bagi tempoh dua tahun yang merangkumi 377 Projek Jalan Perhubungan Desa (JPD), 665 Projek Ameniti Sosial (PAMS) serta pemasangan 2,657 unit Lampu Jalan Kampung (LJK) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Selain itu, sebanyak 164 projek JPD bernilai RM59.27 juta telah dilaksanakan pada tahun ini, iaitu peningkatan berbanding 102 projek yang telah disiapkan melibatkan peruntukan RM10.53 juta pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan penekanan dan tumpuan berterusan kerajaan terhadap aspek penyelenggaraan dan peningkatan akses jalan desa mengikut keperluan setempat.
Sementara itu, sebanyak 313 projek PAMS merangkumi kerja-kerja pembaikan kemudahan asas seperti dewan, balai raya dan fasiliti komuniti luar bandar telah disiapkan pada tahun ini melibatkan peruntukan berjumlah RM17.17 juta, manakala 2,657 unit lampu bagi projek LJK bernilai RM7.46 juta telah dipasang sejak tahun 2023, yang dilihat telah memberi impak besar terhadap keselamatan penduduk kampung.
Kesemua projek pembangunan infrastruktur luar bandar yang telah dilaksanakan itu menterjemahkan komitmen bersama Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam memastikan setiap kampung di Johor akan terus menerima kemudahan asas yang lebih selamat dan moden, sekali gus menyokong kehidupan masyarakat di luar bandar.
Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menjawab pertanyaan berhubung usaha Kerajaan Negeri menambah baik kemudahan asas masyarakat luar bandar serta langkah menaik taraf fasiliti awam di desa pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#DewanNegeriJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



