JOHOR SOKONG PERCEPAT PELAKSANAAN E-ART

Kejayaan menyiapkan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) lebih awal daripada jadual asal turut disifatkan sebagai pencapaian penting dalam memperkukuh rangkaian pengangkutan rel Negeri Johor, sekali gus melengkapkan ekosistem pengangkutan awam bersepadu di negeri ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri memberi sokongan penuh terhadap usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan projek Aliran Transit Automasi-Bertingkat (E-ART) sebagai langkah penting dalam memastikan kesinambungan sistem pengangkutan awam negeri ini, khususnya bagi menyokong pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura yang dijangka bakal bermula pada Januari 2027.

 

Pelaksanaan E-ART ini amat signifikan bagi memastikan pengurusan trafik bandar raya Johor Bahru kekal lancar apabila peningkatan pergerakan penumpang dijangka berlaku seiring dengan pengoperasian penuh RTS Link kelak, jelas YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor.

 

Beberapa model dan cadangan, termasuk pelaksanaan ART bertingkat turut dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri dan ia juga telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan dengan keutamaan agar projek berkenaan dapat dimulakan lebih awal, selaras dengan keperluan mendesak pengangkutan awam di kawasan bandar berimpak tinggi.

 

Dalam perancangan awal, tiga jajaran utama telah dikenal pasti iaitu Tebrau, Skudai dan Iskandar Puteri dengan jajaran Tebrau akan diberikan keutamaan memandangkan kira-kira 75 peratus kenderaan yang keluar masuk ke Johor Bahru melalui laluan tersebut, sekali gus menjadikannya sebagai laluan paling kritikal dari segi aliran trafik harian.

 

Sistem E-ART dipilih kerana mengambil kira beberapa faktor seperti kos, tempoh pelaksanaan serta keperluan semasa, khususnya bagi memperluaskan akses pengangkutan awam yang efisien dan berdaya saing. Pendekatan ini dijangka berupaya memudahkan pergerakan rakyat, menjimatkan masa dan kos perjalanan serta mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas di bandar raya Johor Bahru.

 

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, kejayaan menyiapkan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) lebih awal daripada jadual asal turut disifatkan sebagai pencapaian penting dalam memperkukuh rangkaian pengangkutan rel Negeri Johor, sekali gus melengkapkan ekosistem pengangkutan awam bersepadu di negeri ini.

 

Penyempurnaan projek berkenaan membolehkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) JB Sentral–KL Sentral beroperasi bermula 12 Disember, lebih awal daripada jadual asal iaitu pada 1 Januari 2026, sekali gus meningkatkan kecekapan pergerakan rakyat serta aktiviti ekonomi antara Johor dan Lembah Klang.

 

Kerajaan Negeri Johor turut memainkan peranan penting dalam melancarkan pelaksanaan projek strategik tersebut, termasuk urusan pengambilan tanah melibatkan kawasan setinggan, masjid dan kuil, yang menterjemahkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat di negeri ini.

 

#JohorSafeZone
#EART
#RTSLink
#PLBEGJB
#InfrastrukturRel
#PengangkutanAwam
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor