YONG PENG MAHU 10 PERATUS SASARAN 12 JUTA PELANCONG KE JOHOR

YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Yong Peng hadir pada Program ‘Yong Peng New Year Fest’ sempena Karnival Kita Yong Peng 2.0 di Dataran Gemilang Yong Peng. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

#BatuPahat – Sempena menyambut Tahun Melawat Johor 2026, Yong Peng kini bersedia sepenuhnya untuk menerima kedatangan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara, sekali gus mensasarkan 10 peratus daripada 12 juta sasaran pelancong yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Johor, sebelum ini.

 

Bagi memastikan sasaran itu tercapai, pelbagai perancangan penganjuran program berskala besar di Yong Peng juga sedang dirangka seperti Festival Buah-Buahan, agropelancongan dan komuniti.

 

Selain itu, Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) turut merangka pelbagai inisiatif bagi merancakkan sektor pelancongan terutamanya melibatkan pembangunan infrastruktur seperti pelantikan kontraktor bagi menaik taraf Dataran Ayer Hitam serta menaik taraf taman rekreasi di sekitar Yong Peng.

 

Beberapa penganjur dan pengendali program pelancongan turut dikenal pasti bagi melaksanakan aktiviti di peringkat komuniti dan kebangsaan seperti acara ‘Fun Run’ sejauh lima kilometer serta aktiviti mendaki Bukit Payung, lokasi yang menawarkan pengalaman mendaki lima puncak dalam tempoh satu hari.

 

Yong Peng turut bergerak ke arah pembangunan bandar pintar melalui projek naik taraf infrastruktur yang merangkumi pelaksanaan sistem parkir pintar, lampu isyarat pintar serta pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) pintar bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penduduk serta pelancong.

 

Usaha berterusan itu mencerminkan komitmen MDYP untuk bergerak lebih aktif dalam usaha merancakkan sektor pelancongan di kawasan berkenaan, sekali gus menyokong aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 dan menjadikan Yong Peng sebagai antara lokasi tumpuan pelancong utama di negeri ini.

 

Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Yong Peng hadir pada Program ‘Yong Peng New Year Fest’ sempena Karnival Kita Yong Peng 2.0 di Dataran Gemilang Yong Peng, semalam.

 

Turut hadir pada program tersebut YBhg. Tuan Haji Mohd Norman Noh, Yang Dipertua MDYP dan YBhg. Encik Muhamad Sharul Azmi Md Kamil, Setiausaha MDYP.

 

#JohorSafeZone
#TahunMelawatJohor2026
#MehLahJohor
#MehLahYongPeng
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor