JOHOR BERPOTENSI TERIMA PELABURAN RM900 JUTA

Komitmen pelaburan dari Singda Superalloy (Malaysia) Sdn. Bhd. dijangka membuka lebih 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi moden. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Johor menerima komitmen pelaburan sekitar RM900 juta daripada syarikat berteknologi tinggi, Jiangsu Longda Superalloy Co. Ltd. menerusi anak syarikatnya di Malaysia, Singda Superalloy (Malaysia) Sdn. Bhd., hasil lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri Johor ke Shanghai, China, 17 Disember lalu.

 

Komitmen pelaburan tersebut dijangka membuka lebih 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi moden, sekali gus menyokong pembangunan industri aeroangkasa, tenaga dan kejuruteraan berat di Johor.

 

Pelaburan berkenaan turut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang merangkumi peluang latihan, pembangunan bakat serta tawaran sekurang-kurangnya 50 peluang pekerjaan kepada graduan termasuk pendedahan latihan di Malaysia dan China.

 

Perbincangan turut melibatkan pembentukan kluster rantaian bekalan industri bersama rakan ekosistem strategik yang dijangka mewujudkan limpahan ekonomi kepada syarikat tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penyedia perkhidmatan di Johor.

 

Inisiatif berterusan ini mencerminkan komitmen kepimpinan Kerajaan Negeri Johor dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh ekosistem perindustrian dan memastikan pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan serta berdaya saing.

 

Delegasi Kerajaan Negeri Johor ke Shanghai, China diketuai oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, diikuti YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor serta YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi Negeri Johor.

 

#JohorSafeZone
#WTN
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor