EKSPEDISI BP HEBAT @ PROGRAM PEMANTAPAN DIRI TAWAN GUNUNG MA’OKIL
BATU PAHAT — Lebih 100 peserta berjaya menamatkan Ekspedisi BP Hebat @ Program Pemantapan Diri yang berakhir di Air Terjun Jerai di Gunung Ma’okil, Segamat.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Ezahar Abu Sairin, berkata ekpedisi itu adalah program merupakan program siri terakhir anjuran MPBP dengan kerjasama Pejabat Hutan Negeri Johor.
“Ekspedisi BP Hebat @ Program Pemantapan Jati diri ini bermula pada 28 Julai lalu yang mana program ini mempunyai tujuh siri pendakian bukit serta gunung di sekitar daerah Batu Pahat dan daerah lain berhampiran.
“Siri pertama program ini dimulakan di Bukit Banang dan ekspedisi sama kemudiannya diteruskan ke Bukit Soga, Bukit Inas, Bukit Payong, Bukit Segenting, Bukit Bindu dan terakhir di Gunung Ma’okil.
“Semua kawasan yang dipilih ini adalah antara lokasi kegemaran peminat ‘hiking’ dan juga antara tempat tarikan pelancong di Batu Pahat,” katanya.
Ekspedisi itu turut disertai peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi seperti MPM, Pejabat Daerah Batu Pahat, Majlis Daerah Yong Peng, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Southern Volunteers Batu Pahat.
Ezahar yang mengetuai program terbabit berkata, semua ekspedisi yang dilaksanakan ini sememangnya mencabar kerana peserta perlu berdepan dengan pelbagai cabaran ketika melakukan pendakian di tanah tinggi.
“Bagi ekpedisi di Gunung Ma’okil ini, semua peserta perlu melakukan pendakian di laluan trek sepanjang kira-kira lima kilometer dengan ketinggian mencapai 578 meter.
“Peserta juga berdepan dengan cabaran kerana berdepan dengan pendakian yang berada pada tahap kesukaran 3, selain akan melalui kawasan Air Terjun Jerai di CP1,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor