KERAJAAN JOHOR PUJI GERAK KERJA PANTAS SUKARELAWAN SOUTHERN VOLUNTEERS


Sukarelawan SV menghulurkan bantuan kepada keluarga yang dilanda musibah akibat kebakaran kediaman | Sumber Facebook Hairi Md Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor memuji tindakan pantas gerak kerja Southern Volunteers (SV) dalam menghulurkan bantuan kesukarelawanan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan SV yang peka dengan perkembangan berlaku di daerah masing-masing.

“Selaku EXCO Belia dan Sukan Negeri Johor, saya mengucapkan terima kasih kepada Sukarelawan-Sukarelawan SV di daerah-daerah yang cakna dan bergerak pantas menyalurkan maklumat serta bantuan sumbangan.

“Kekalkan momentum ini supaya Bangsa Johor yang terkesan dengan bencana dapat kita sama-sama bantu,” katanya seperti dipetik dari Facebook rasminya.

Mohd Hairi berkata, sukarelawan SV telah membantu menyalurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Al-Barakah, Kampung Sri Delima di Kota Tinggi.

“Sebanyak dua kawasan terjejas banjir ekoran hujan lebat dan air sungai melimpah di kawasan Tenggara, Kota Tinggi iaitu Kampung Sri Jaya dan Kampung Sri Delima membabitkan seramai 72 mangsa daripada 18 keluarga yang terpaksa dipindahkan.

“Terima kasih dan tahniah kepada En. Mohd Fahmy Yahya, Yang DiPertua Majlis Daerah Kota Tinggi merangkap Pengerusi Southern Volunteers MDKT dan semua Sukarelawan SV yang membantu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, sukarelawan SV juga bertindak pantas menghulurkan bantuan sumbangan kepada satu keluarga yang rumahnya 90 peratus musnah akibat kebakaran kelmarin di Jalan Parit Lapis, Kampung Sungai Lurus, Rengit di Batu Pahat.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor