JKSNJ LANCAR BUKU KOMPILASI ARAHAN AMALAN KETUA HAKIM SYARIE BAGI MEMPERKASA PENTADBIRAN KEHAKIMAN

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor melancarkan Buku Kompilasi Arahan Amalan Ketua Hakim Syarie Negeri Johor 2020–2025 untuk menyelaras dan memperkukuh sistem kehakiman syariah Johor agar lebih efisien dan teratur. | Foto JKSNJ

 

#JohorBahru – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor (JKSNJ) melancarkan Buku Kompilasi Arahan Amalan Ketua Hakim Syarie Negeri Johor 2020-2025 sebagai antara usaha ke arah menyelaras dan memperkasa sistem kehakiman syariah di Negeri Johor agar lebih efisien dan teratur.

 

Pelancaran kompilasi buku berkenaan akan menjadi rujukan rasmi bagi memastikan setiap keputusan dan pelaksanaan tugas dapat dilaksana dengan lebih seragam dan teratur.

 

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pentadbiran Mahkamah Syariah, malah berupaya memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap Institusi Kehakiman Syariah Negeri Johor, kelak.

 

Naskhah buku ini bukan sekadar dokumentasi biasa tetapi ia merupakan himpunan tuntas yang merangkumi segala ‘Arahan Amalan’ yang telah dikeluarkan sepanjang tempoh lima tahun, selain turut berfungsi sebagai panduan kepada semua Hakim Syarie, Pegawai Mahkamah serta pengamal undang-undang syariah di seluruh Negeri Johor.

 

Penerbitan buku tersebut bukan sahaja dapat dimanfaatkan untuk menyelaraskan prosiding di semua peringkat mahkamah khususnya di Johor, tetapi ia juga bertujuan meningkatkan proses penentuan keputusan supaya lebih konsisten dan telus, sekali gus mengelakkan kekeliruan prosedur yang boleh melambatkan proses keadilan.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor hadir ke Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan menyempurnakan Pelancaran Buku Kompilasi Arahan Amalan Ketua Hakim Syarie Negeri Johor 2020-2025 Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor di Fraser Place, Puteri Harbour, Johor.

 

Turut hadir ialah Yang Berhormat Yang Amat Arif Dato’ Haji Muhammad Khaldun Mohamad Syarif, Ketua Hakim Syarie Negeri Johor; YA Tuan Haji Jainudin Mt. Sum @ Munajat, Panel Rayuan Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Johor dan YBhg. Tuan Haji Ahmad Wafi Abdullah, Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Johor.

 

#JohorSafeZone
#JKSNJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor